11/02/2018
[ PENGALAMAN PAKAR ORTOPEDIK ]
Kali ini, , , membawakan pengalaman seorang pakar Ortopedik iaitu bekas graduan University of Otago, New Zealand, Dr Ahmad Mahyuddin bin Dato' Mohamed yang sedang berkhidmat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.
Selepas saya tamat pengajian pada Februari 2002 daripada University of Otago New Zealand, saya tidak perlu menunggu lama untuk masuk ke alam pekerjaan. Ketika itu bilangan graduan perubatan masih kurang. Selepas tamat pengajian dan melapor diri kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) saya mendapat tawaran untuk ditemuduga. Saya melapor diri sebagai Pegawai Perubatan Latihan Siswazah (PPS) pada 8/04/2002 iaitu 2 bulan selepas tamat pengajian.
Saya menjalani Housemanship di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selama setahun pada 2002-2003. Pada ketika itu, saya hanya melakukan posting Ortopedik, Perubatan, O&G dan Pediatrik semasa Housemanship. PPS masih tidak diwajibkan menjalani 6 posting seperti sekarang.
Setelah tamat Housemanship, saya ditempatkan sebagai Pegawai Perubatan / Medical Officer (MO) di Jabatan Ortopedik HTAA sebelum ditukarkan ke Hospital Mentakab, Pahang (sekarang Klinik Kesihatan Bandar Mentakab) pada 2004. Saya pernah dipindahkan ke Jabatan Pembedahan sebagai MO selama 4 bulan atas keperluan perkhidmatan sebelum kembali ke Jabatan Ortopedik.
Apabila Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh siap dibina pada tahun 2005, saya bersama-sama semua kakitangan Hospital Mentakab telah berpindah ke sana.
Saya melakukan posting Ortopedik sebagai posting pertama saya semasa Housemanship. Pada mata saya sebagai seorang PPS, Ortopedik adalah satu bidang yang mudah dan telus. Kepatahan jelas kelihatan dalam xray, dan ia boleh dibetulkan. Sendi yang terkeluar itu jelas, dan ia boleh dimasukkan.
Saya sangat s**a melihat pesakit saya dapat kembali berjalan seperti biasa selepas tulang yang patah kembali disambungkan. Ia mengujakan saya dan minat saya tertanam terus pada posting pertama itu. Apatah lagi dengan minat mendalam saya terhadap subjek anatomi. Posting ini amat bertepatan dan memberi kelebihan kepada diri saya.
Anda akan tahu apa yang anda minat setelah anda menjalani posting tersebut. Nasihat saya, jalani Housemanship terlebih dahulu dan anda akan tahu apa yang anda ingin lakukan seterusnya. Hakikatnya, kehidupan sebagai pelajar perubatan tidak sama dengan apa yang anda akan lalui sebagai seorang doktor nanti.
Saya melanjutkan latihan kepakaran (Master) di bidang Ortopedik mulai tahun 2006 sehingga 2011 di beberapa hospital termasuk Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan UKM dan Hospital Sungai Buloh. Terdapat 2 kali peperiksaan iaitu Bahagian 1 (Basic Science) termasuk Physiology, Anatomy, Pathology dan Principles of Surgery pada tahun pertama dan Bahagian 2 iaitu Clinical Orthopaedics pada tahun akhir pengajian. Pada tahun ke-3 kami diwajibkan menghasilkan Thesis atau Journal sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan akhir.
Pengalaman Pahit:
Terdapat banyak pengalaman pahit yang saya telah harungi. Namun majoritinya tidak dapat dikongsikan. Satu kisah yang begitu menimbulkan kesan ke atas diri saya ialah apabila saya menerima surat komplen daripada seorang bapa pesakit kerana keputusan saya membatalkan pembedahan anak beliau. Pembedahan itu telah saya batalkan atas sebab keselamatan anak beliau sendiri dan penjelasan telah pun diberikan kepada ibu pesakit. Namun bapa pesakit telah bertindak menghantar surat aduan yang menyebabkan tekanan emosi ke atas diri saya. Saya begitu tertekan apabila diarahkan menjawab aduan yang telah dibuat. Doktor yang bertindak menyelamatkan anak beliau pun kena komplen!
Pengalaman Manis:
Terlalu banyak pengalaman manis jika hendak disebut satu persatu. Antara pengalaman manis saya ialah apabila dijemput ke Jordan dan Mesir bagi memberi perkongsian bersama pelajar-pelajar Perubatan dan Pergigian Malaysia. Ia adalah bersandarkan kepada perhatian yang saya amat tekankan terhadap PPS di hospital tempat saya bertugas dan juga perkongsian saya di media sosial.
Pengalaman lain yang boleh dikongsikan juga ialah peluang ke stesen televisyen TV3, Astro dan TV AlHijrah bagi memberi perkongsian mengenai kondisi Ortopedik. Ia amat memberikan kepuasan buat diri saya.
Paling penting ialah persediaan fizikal dan mental. Anda perlu tahu kehidupan yang anda bakal tempuhi ini bukannya sesuatu yang mudah. Buat persiapan daripada ilmu pengetahuan ketika di alam universiti. Setelah tamat pengajian, sertai kursus-kursus persediaan yang dianjurkan di Malaysia memandangkan tempoh menunggu sekarang agak lama. Paling baik jika anda boleh buat attachment di hospital kerajaan dan banyakkan bertanya pengalaman doktor-doktor yang telah menjalani housemanship.
Saya s**a menasihatkan graduan agar memilih hospital yang berdekatan dengan support system mereka, contohnya berdekatan dengan rumah ibubapa, bagi menjalani housemanship ini. Support person adalah amat penting kerana tempoh 2 tahun sebagai Houseman ini adalah tempoh yang mencabar.
Kepakaran tu anda akan tahu setelah anda lalui housemaship nanti.
MAJLIS MAHASISWA JUST 17/18: Empowering People, Everlasting Triumph :.: Mahasiswa Disantuni, PERMAI Dicintai :.