17/11/2021
https://www.facebook.com/879590985435954/posts/4691196667608681/
Susulan dari kejadian menyayat hati ini, saya terbaca komen individu yang berpendapat bahawa kanak-kanak sekarang sangat lasak dan aktif berbanding kanak-kanak dahulu. Oleh sebab itulah kemalangan yang melibatkan kanak-kanak kecil banyak berlaku.
Perlu diketahui, kanak-kanak pada zaman mana sekalipun umumnya sememangnya sangat aktif dan lasak. Malah mereka perlu aktif dan lasak bergerak dan bukannya hanya diam disogokkan dengan skrin tv dan gajet.
Kanak-kanak yang tidak lasak, tidak bergerak, tidak berlari, tidak melompat, tidak berguling dan tidak memanjat ialah kanak-kanak yang 'deprived' iaitu tidak diberikan hak untuk menjalani rutin kehidupan normal yang membantu perkembangan yang sihat.
Kanak-kanak usia awal juga mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tebal. Mereka tertanya-tanya tentang hampir semua perkara di sekeliling yang dapat mereka lihat, bau, sentuh, dengar dan rasa, dari sekecil-kecil semut yang melata di atas lantai sehinggalah ke sebesar-besar burung besi yang dilihat di langit.
Mereka akan menyiasat, mereka akan bertanya, mereka akan mencuba, mereka akan melakukan eksperimen bukan sahaja dengan benda di sekeliling mereka malah juga eksperimen dengan diri mereka sendiri.
Setinggi mana saya boleh panjat?
Sejauh mana saya boleh lompat?
Sekuat mana saya boleh tarik?
Mereka bukannya nakal.
Mereka bukannya aktif tidak tentu pasal.
Itu merupakan perkembangan yang normal bagi kanak-kanak usia awal yang tipikal.
Bagaimanapun sifat kanak-kanak yang aktif, lasak dan tertanya-tanya ini menjadi faktor utama yang boleh membahayakan nyawa mereka.
Mereka masih belum faham tentang RISIKO.
Mereka masih belum dapat menilai yang mana baik dan yang mana buruk, yang mana betul dan yang mana salah, yang mana selamat dan yang mana bahaya.
Walaupun mereka berupaya dari segi fizikal dan cerdas akal, mereka masih memerlukan batasan dan panduan daripada orang dewasa.
Mereka memerlukan pemantauan orang dewasa.
Mereka memerlukan ciri-ciri keselamatan yang dapat melindungi mereka dari penerokaan bahaya yang belum terjangkau dek pemikiran mentah mereka.
Semua kanak-kanak perlu diberikan peluang untuk aktif dan lasak tetapi orang dewasa perlu menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka aktif dan lasak.
Kanak-kanak mempunyai hak.
Orang dewasa mempunyai tanggungjawab.
Semoga semua ibubapa dan penjaga kanak-kanak memahami perkembangan dan keperluan kanak-kanak agar mereka dapat hidup dengan cerdas, aktif dan selamat.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy