
26/03/2025
Pada 12 hingga 14 Mac 2025, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Psikologi HUMS telah berjaya menganjurkan bengkel pengoperasian dan penetapan KPI Jabatan yang bertempat di Pusat Pendidikan Perubatan Desa (RMEC), Sikuati, Kudat, Sabah. Seramai 15 orang kakitangan dari Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Psikologi HUMS telah mengambil bahagian dalam bengkel ini, yang bertujuan mempersiapkan pengoperasian HUMS yang dijadualkan dilancarkan pada awal tahun 2026. Program bengkel ini merupakan langkah strategik dalam memantapkan pengeporasian hospital dan menetapkan KPI jabatan.
Pada hari kedua bengkel, majlis program tersebut menerima kehadiran Dr. Abdul Jabbar Bin Ismail, Timbalan Pengarah Klinikal HUMS, yang turut serta dalam sesi pemantauan dan juga telah bersama -sama dalam majlis berbuka puasa bersama kakitangan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Psikologi. Kehadiran Dr. Abdul Jabbar Bin Ismail, Timbalan Pengarah Klinikal HUMS ini menandakan komitmen Pihak Pengurusan HUMS terhadap pembangunan dan kejayaan jabatan ini, sekali gus memberikan motivasi tambahan kepada semua kakitangan.
Pada hari terakhir program, semua kakitangan jabatan yang terlibat dalam program bengkel ini telah melaksanakan aktiviti team building di The Tip of Borneo, Tanjung Simpang Mengayau, Kudat, Sabah. Lokasi yang memukau ini dipilih dengan strategi untuk membina hubungan interpersonal yang kukuh, meningkatkan kemahiran komunikasi, mempertingkatkan kemampuan kolaboratif, dan mengasah kemahiran penyelesaian masalah secara berkumpulan. Melalui aktiviti ini, setiap peserta berjaya mengukuhkan semangat pasukan dan meletakkan asas yang kukuh untuk kerjasama masa hadapan.
Sebagai pengiktirafan atas kejayaan program, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Psikologi merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Pihak Pengurusan HUMS. Sokongan padu dan kepercayaan yang diberikan telah menjadi pemangkin utama kejayaan bengkel ini, menggambarkan komitmen organisasi ke arah pembangunan yang berkualiti, inovatif, dan berprestasi tinggi.