14/12/2022
“Abang…Abang, Allahu Akbar!"
Raung seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Suami kat sebelah dah tak sedarkan diri. Hanya dengar nafas kasar dan tersekat-sekat.
Cerita ni baru saja berlaku.
Pagi semalam ustaz ada program di TV Al-Hijrah. Dalam perjalanan balik, ustaz bawa motor perlahan. Jalan sangat licin lepas hujan.
Tiba di jalan bawah fly over dekat Parlimen, ustaz nampak sebuah kereta kancil hilang kawalan dan berlaku kemalangan. Kedua-dua belah pintu remuk teruk sebab terbalik beberapa kali sebelum langgar sebatang pokok.
Ustaz pun berhenti. Ada dua tiga orang pemandu lain pun berhenti. Ada Cina, India dan Melayu. Kami berpakat nak selamatkan sepasang suami isteri yang terperangkap dalam kereta.
Si Isteri p**a menangis dan menjerit tak berhenti. Si suami nampak tak sedarkan diri.
Macam-macam cara kami cuba buat. Akhirnya pintu berjaya dibuka. Si Isteri dapat keluar dari kereta tapi suaminya masih tak berjaya dikeluarkan sebab tersepit pada kerusi.
Apa jadi seterusnya. Wanita ni masih panik dan meraung.
“ Allahuakbar. Allahuakbar.”
Raung wanita tu tak berhenti.
Saya cakap pada wanita tu. Bertenang. Berhenti minta maaf tu tapi sebut lailahaillah. Ajar suami sebut kalimah lailahaillah.
Sebab dalam keadaan suami dia waktu tu, paling baik ajarkan kalimah syahadah.
Tuan puan jangan salah faham.
Kalimah syahadah ni bukan untuk orang yang dah betul-betul nak sampai ajal sahaja. Tapi sangat bagus kita sebutkan pada orang yang tak sedarkan diri.
Bila kita berdepan dengan orang yang tengah nazak dan tak sedar diri, jangan cakap apa-apa lagi pada dia.
Apa perlu kita buat, sebut la ila ha illallah. Ulang itu saja.
La ilaha illaAllah.
La ilaha illaAllah.
La ilaha illaAllah.
Orang yang tengah tak sedar ni tuan puan, dia masih boleh dengar. Bila dia dengar kalimah ni, hati dia akan tersentak dan bagi kekuatan untuk sedar balik.
Kalau ajalnya betul-betul dah hampir p**a, moga dengan kalimah syahadah yang dia dengar dan ulang dalam hati tu, Allah bagi rahmat. Dia tetap menghembus nafas dalam keadaan seorang Muslim.
Kami terus cuba selamatkan lelaki yang tersepit tu. Walaupun nampak tak sedarkan diri, tapi masih dengar bunyi nafas yang kasar dan seperti tersekat.
Kami betulkan kedudukan lelaki tu agar dia boleh bernafas dengan baik. Alhamdulillah. Dapat respon positif walaupun dia masih tak sedar.
Alhamdulillah. Allah mudahkan urusan. Tak lama lepas tu ambulan pun datang dan bawa mangsa ke hospital.
Tuan puan,
Ada orang pernah sebut. Bila kita naik kenderaan, kita sebenarnya berada dalam keadaan 50-50 antara hidup dan mati.
Kenapa macam tu?
Sebab tersalah sedikit tindakan kita semasa memandu, bolehmembahayakan diri dan melayang nyawa.
Kadang kita tak tersilap, tapi mungkin ada kenderaan lain p**a yang membahayakan nyawa kita. Benar-benar nyawa di hujung tanduk.
Sebab tu dalam Islam kita dianjurkan untuk baca doa sebelum naik kenderaan.
سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُۥ مُقۡرِنِينَ وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ
"Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.”
Banyakkan berzikir ketika dalam kenderaan. Berserah diri dan tawakkal kepada Allah. Kurangkan bercakap-cakap pada perkara yang tak perlu.
Tuan puan,
Musibah dan bahaya datang tanpa kita undang.
Malaikat maut datang tanpa bagi salam.
Sama-sama kita bersedia setiap waktu. Bersiap sedia dengan membasahi hati dan lidah dengan mengingati Allah.
Sharing dari ustaz Hanafi Malek