13/01/2026
Pada 13 Januari 2026 (Isnin), satu majlis Panggil Nama serta Lafaz Ikrar Dadah dan Ikrar Bebas Rasuah telah diadakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. Majlis ini telah berlangsung pada jam 2.30 petang bertempat di Bilik Taklimat, Balai Polis Kuala Terengganu. Lafaz ikrar telah diketuai oleh Insp Muhamad Syaqir bin Mohd Rizani.
Majlis ini telah dipengerusikan oleh ASP Noorshahiram binti Adam, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuala Terengganu dan disertai oleh seramai 19 orang pegawai serta anggota, terdiri daripada 6 orang Pegawai Kanan Polis (PKP), 12 orang Pegawai Rendah Polis (PRP) dan seorang Kakitangan Tadbir Awam (KTA).
Sepanjang majlis berlangsung, bacaan Lafaz Ikrar Dadah dan Ikrar Bebas Rasuah telah dilaksanakan dengan penuh tertib di hadapan Ketua Bahagian. Semua pegawai dan anggota yang hadir telah menandatangani borang ikrar berkenaan sebagai tanda komitmen terhadap integriti, disiplin serta pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan. Borang-borang tersebut akan disimpan bagi tujuan dokumentasi dan dimuat naik ke dalam Fail e-SKDD masing-masing.
Dalam ucapannya, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil telah menekankan kepentingan menjaga disiplin diri dalam kalangan warga BSJKD, khususnya dari segi kekemasan berpakaian seragam dan keterampilan diri semasa menjalankan tugas. Selain itu, semua warga BSJKD turut diingatkan supaya meningkatkan pencapaian KPI tuduh serta memastikan penyerahan wang kepada pengadu bagi kes-kes berkaitan NSRC dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau juga mengingatkan agar semua pegawai dan anggota membuat pengemaskinian pengisytiharan harta dan SKDD 4 pada setiap bulan tanpa gagal. Di samping itu, semangat saling hormat-menghormati, kerjasama berpasukan serta komunikasi yang baik hendaklah sentiasa diamalkan bagi memastikan kelancaran tugasan harian.
Dalam masa yang sama KBSJKD turut berbesar hati telah menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada Sjn Amran bin Mohamed kerana telah mencapai pertuduhan tertinggi pada bulan Disember 2025.
Sebagai penutup, warga BSJKD digesa untuk mengekalkan momentum prestasi kerja yang baik seperti sedia ada serta sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat. Majlis ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi nilai integriti, profesionalisme dan akauntabiliti dalam kalangan warga Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuala Terengganu.