22/04/2022
Pokok Sacha Inchi: Spesies, Ciri-ciri dan Khasiat.
Pengenalan
Sejak kebelakangan ini, pokok sacha inchi mula menarik minat rakyat Malaysia kerana ia disenaraikan sebagai salah satu ‘superfood’ di dunia pada tahun 2016. Tumbuhan yang berasal dari Peru ini telah lama digunakan oleh masyarakat Inca sejak 3000 tahun yang lalu. Bukti masyarakat Inca menggunakan pokok sacha inchi boleh dilihat pada pelbagai bentuk seramik dan makam masyarakat Inca. Ia sangat kaya dengan nutrisi serta ditanam secara komersial di Thailand, Vietnam dan Kemboja. Jom kita mendalami dengan lebih lanjut tentang pokok sacha inchi.
Spesies
Sacha inchi merupakan sejenis tanaman kekacang atau nama saintifiknya ialah Plukenetia volubilis. Ia turut dikenali sebagai ‘sacha peanut’, ‘inca peanut’ dan ‘mountain peanut’. Tumbuhan ini tergolong dalam famili Euphorbiaceae dan genus Plukenetia.
Ciri-ciri
Pokok sacha inchi mempunyai ketinggian kira-kira 2-3 meter. Ia tumbuh secara menjalar atau memanjat dengan sokongan kayu atau para setinggi 3-4 meter. Buah sacha inchi berwarna hijau cerah semasa muda dan berwarna perang gelap apabila matang. Ia berbentuk seperti biji getah serta mempunyai kapsul yang berukuran 3-5 cm.
Buah sacha inchi akan dituai apabila matang dan buahnya akan terbuka sendiri. Bijinya berbentuk oval dan berwarna perang kehitaman yang berukuran 1.5-2.0 cm. Ia mempunyai berat sekitar 45-100 gram setiap biji. Tumbuhan ini mempunyai bunga berwarna putih kehijauan dan bersaiz kecil di bahagian hujung dahan. Bunga jantan yang berwarna putih bersaiz kecil dalam jambak sementara bunga betina berada dibahagian bawah jambak.
Cara penanaman
Pokok sacha inchi ini memerlukan medium tanah berasid dengan pH diantara 5.1-5.5 bagi memastikan pertumbuhan yang sihat. Selain itu, ia memerlukan air yang mencukupi dan sistem saliran yang baik. Pokok ini mudah dijaga dan ditanam, namun harga pasarannya agak tinggi menyebabkan ramai mula berkecimpung untuk mengkomersialkan tumbuhan ini. Penanaman pokok ini menggunakan biji benih yang diambil dari pokok yang telah matang.
Biji benih perlu direndam dalam air yang bersih dan seterusnya disemai di atas tapak semaian pada suhu 25-30 celcius. Percambahan kebiasaannya mengambil masa selama 14 hari dan setelah itu ia boleh dialih ke kebun. Di samping itu, terdapat kaedah lain dengan menanam biji benih terus ke ladang tanpa direndam dalam air, namun ia akan menyebabkan percambahan menjadi tidak sekata. Antara kelebihan pokok sacha inchi ialah ia mudah dijaga kerana kurang serangan serangga perosak dan cepat berbuah.
Khasiat
Pokok sacha inchi mempunyai khasiat dan nutrisi yang tinggi. Sacha inchi kaya dengan Omega 3 iaitu lebih tinggi berbanding kandungan Omega di dalam ikan. Antara kandungan yang terdapat dalam Sacha Inchi adalah Omega 3 (48%), Omega 6 (35%) dan Omega 9 (9%). Buah sacha inchi ini juga boleh dimakan tanpa direbus. Ia mengandungi minyak yang berkhasiat iaitu Omega 3 Fatty Acids, Alpha Linoleic Acids (ALA) dan Essential Amino Acids. Justeru, ia dapat membantu merawat dan mencegah masalah-masalah utama yang dihadapi oleh setiap tubuh badan.
1. Mengawal berat badan
Setiap orang pasti mengidamkan badan yang sihat dan berat badan yang ideal. Hormon kortisol yang berlebihan pada tubuh badan akan membuatkan kita makan secara berlebihan terutamanya makanan manis dan berlemak. Omega 3 pada pokok sacha inchi mampu mengawal hormon kortisol yang bertindak untuk mengawal selera makan.
2. Menghindari dari penyakit diabetes
Kencing manis atau diabetes merupakan penyakit jangka masa panjang kerana badan tidak mampu menghasilkan insulin yang mencukupi. Insulin merupakan hormon bagi mengawal paras gula dalam darah. Omega 3 juga dapat mengawal tahap insulin dan sekaligus mengurangkan risiko diabetes. Penyakit diabetes ini boleh menyebabkan kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.
3. Mencantikkan kulit dan menguatkan akar rambut
Vitamin E dan Omega 3 membantu mengawal pengeluaran minyak pada rambut dan juga kulit. Hal ini akan menghasilkan kulit yang lebih anjal, membekalkan hidrasi, memperbaiki kerosakan kulit dan rambut serta melindungi daripada sinaran matahari.
4. Mengurangkan sakit sendi
Sacha inchi mampu mengurangkan sakit sendi terutamanya bagi warga emas. Kandungan nutrisi yang terdapat pada tumbuhan ini juga mampu merawat penyakit rheumatoid arthritis atau dikenali sebagai radang sendi.
5. Membantu menguatkan tulang
Omega 3 pada pokok sacha inchi membantu tubuh badan untuk menyerap kalsium secara optimum. Hal ini akan meningkatkan kepadatan tulang, menghalang pereputan tulang serta mengelakkan penyakit seperti osteoporosis.
Ekonomi
Pokok sacha inchi dapat memberikan pendapatan jangka panjang dengan pulangan yang tinggi kerana ia mendapat sambutan yang cukup baik di peringkat antarabangsa. Buah yang matang akan dipetik dan dimasukkan ke dalam bekas sebelum dijual atau diproses. Pokok ini mula berbunga 5 bulan selepas ditanam dan mengeluarkan hasil selepas lapan bulan serta mampu bertahan sehingga 20 tahun. Satu pokok dewasa mampu menghasilkan 100 biji buah setahun iaitu sebanyak 400-500 biji yang terhasil.
Biji yang dihasilkan ini mempunyai pelbagai khasiat dan perlu dikomersialkan ke peringkat antarabangsa. Buah sacha inchi ini dikomersialkan dalam bentuk kapsul atau minyak pati. Pihak RISDA telah membantu dengan memberikan 20 hingga 30 batang pokok bagi setiap isi rumah pekebun kecil dan ia mampu memberi pulangan yang lumayan sehingga RM500 sebulan. Secara tidak langsung, ia dapat membantu peniaga kecil dan ekonomi tempatan.
Rujukan:
Anim, H. 2019. 12 Khasiat Tanaman Kekacang ‘Superfood’ Sacha Inchi.
Balqis, J.Z. 2017. ‘Sacha Inchi’ mampu tambah pendapatan pekebun. Retrieved from Berita Harian.
Clarance, G.D. 2019. Pengusahaan Sacha Inchi mampu jana pendapatan: Jonathan. Retrieved from Harian Express.
Diabetes. 2019. Retrieved from World Health Organization.
Kacang sacha inchi. 2019. Retrieved from Aifa Health Care 4u.
Plukenetia volubilis. 2020. Retrieved from Wikipedia.
Risiko penghidap diabetes mati awal. 2011. Retrieved from Malaysian Endocrine & Metabolic Society.