30/04/2026
𝐀𝐝𝐯𝐚𝐧𝐜𝐞𝐝 𝐒𝐢𝐧𝐠𝐥𝐞 𝐂𝐫𝐲𝐬𝐭𝐚𝐥 𝐗-𝐑𝐚𝐲 𝐃𝐢𝐟𝐟𝐫𝐚𝐜𝐭𝐢𝐨𝐧 𝐖𝐨𝐫𝐤𝐬𝐡𝐨𝐩: 𝐅𝐫𝐨𝐦 𝐅𝐮𝐧𝐝𝐚𝐦𝐞𝐧𝐭𝐚𝐥𝐬 𝐭𝐨 𝐂𝐨𝐦𝐩𝐥𝐞𝐱 𝐒𝐭𝐫𝐮𝐜𝐭𝐮𝐫𝐚𝐥 𝐂𝐡𝐚𝐥𝐥𝐞𝐧𝐠𝐞𝐬
Atta-ur-Rahman Institute for Natural Product Discovery (AuRIns), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, dengan kerjasama strategik pihak industri iaitu Bruker AXS dan Inno Lab Engineering Sdn. Bhd., telah berjaya menganjurkan Advanced Single Crystal X-Ray Diffraction Workshop: From Fundamentals to Complex Structural Challenges pada 14 hingga 15 April 2026, bertempat di Aras 9, Bangunan FF3, AuRIns, sebagai usaha memperkukuh kepakaran dalam bidang kristalografi dan analisis struktur lanjutan.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan teori serta kemahiran praktikal peserta dalam teknik Single Crystal X-Ray Diffraction (SC-XRD), merangkumi aspek asas kristalografi, simetri dan sistem kristal, sehingga kepada analisis struktur kompleks serta kaedah penyelesaian masalah data. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada penggunaan perisian analisis terkini bagi menghasilkan data yang berkualiti dan bersedia untuk penerbitan saintifik.
Program ini menampilkan penceramah utama, Dr. Prathapa S. Jagannatha, Product Manager SC-XRD, Bruker AXS, yang telah berkongsi kepakaran dalam pengendalian kristal, pemodelan struktur, serta teknik lanjutan menggunakan perisian APEX.
Turut menyumbang dalam sesi perkongsian ilmu ialah:
Assoc. Prof. ChM. Dr. Amalina Mohd Tajuddin (AuRIns, UiTM)
Dr. Nazziyah Ahmad Rodzi (Malaysia Genome and Vaccine Institute, MGVI)
Dr. Tan Yee Seng (Sunway University)
Prof. Dato’ ChM. Dr. Mohammad Kassim (Universiti Kebangsaan Malaysia)
Assoc. Prof. Dr. Suhana Arshad (Universiti Sains Malaysia)
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah terlibat secara aktif dalam sesi pembelajaran interaktif, perbincangan teknikal serta latihan praktikal yang merangkumi analisis data sebenar dan penyelesaian cabaran dalam kajian kristalografi.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kolaborasi antara akademia dan industri, di samping meningkatkan keupayaan penyelidikan dalam bidang kristalografi serta pembangunan produk berasaskan sains, selaras dengan aspirasi kecemerlangan penyelidikan universiti.