16/01/2026
07 Januari 2026
Program Wellness Open Day: Mind and Body Boost
Bahagian Kesihatan Pergigian telah bersama- sama menjayakan program Wellness Open Day: Your Health, Your Power pada 7 Januari 2026. Program ini merupakan program anjuran Majlis Perwakilan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Program ini bertujuan mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan kesejahteraan fizikal, mental dan amalan gaya hidup sihat.
Antara reruai lain yang turut terlibat adalah saringan asas kesihatan, konsultasi bersama pegawai perubatan, M-Quit, Jabatan Dietetik HSAAS dan sesi kaunseling bersama pelajar tahun akhir daripada Kelab Kaunseling UPM.
Seawal jam 8.30 pagi, persiapan tempat telah dilaksanakan dan Bahagian Kesihatan Pergigian mula menerima kehadiran pengunjung. Selain pemeriksaan gigi dan sesi konsultasi, satu aktiviti cabutan bertuah turut diadakan kepada pengunjung yang hadir. Hadiah saguhati berupa ubat gigi dan berus gigi telah diberikan kepada pengunjung yang bertuah.
Seramai 49 orang pengunjung telah mendapatkan pemeriksaan gigi dan konsultasi di reruai Bahagian Kesihatan Pergigian. Pengunjung yang telah selesai menjalani pemeriksaan gigi turut dipelawa untuk mendapatkan rawatan pergigian lanjut di Bahagian Kesihatan Pergigian, Pusat Kesihatan UPM.
Program ini merupakan program kemasyarakatan pertama yang disertai oleh Bahagian Kesihatan Pergigian bagi tahun 2026. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Majlis Perwakilan FSKTM atas jemputan yang telah diberikan. Diharapkan penglibatan Bahagian Kesihatan Pergigian pada kali ini dapat memberikan manfaat serta meningkatkan kesedaran kesihatan pergigian dalam kalangan pengunjung yang hadir.