05/03/2023
Kiyai Haji Ehsan @ Kasidi, Tebuk Mufrad ( Wafat 1991 )
Tokoh agamawan yang berjasa di Sungai Besar, Selangor ini dilahirkan di Jawa Timur. Beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu dan meneroka hutan di kampung Tebuk Mufrad bersama kump**an pertama pada 1914. Dipercayai bahawa beliau datang bersama saudaranya, Kiyai Haji Mufrat pada ketika itu.
Semasa hayatnya beliau bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak penubuhan Kampung Tebuk Mufrad dan sejak masjid awal didirikan. Allahyarham pernah menganggotai jawatankuasa masjid dan tinggal berjiran dengan Haji Abdul Kadir. Beliau juga memiliki kemahiran khusus dalam bidang urut tradisional.
Kiyai Haji Ehsan berkahwin dengan Embok Seri, seorang bidan kampung yang berwibawa dan telahpun menyambut kelahiran hampir separuh dari penduduk Tebuk Mufrad semasa hayatnya. Perkahwinan mereka telah dikurniakan 5 orang cahaya mata dan mereka juga mengambil seorang anak angkat, iaitu :
1. Salehat
2. Rokayah
3. Rokilah
4. Saonah
5. Rumsiah
6. Hussien @ Mokhid (anak angkat)
Anak sulung beliau Ustaz Salehat mendapat pendidikan agama dan menjawat jawatan sebagai guru agama di Sekolah Rendah Agama Tebuk Mufrad dan Sekolah Agama Sungai Air Tawar. Beliau bersara wajib sebagai seorang ustaz pada 1990. Tugas dan peranan Ustaz Salehat Bin Kasidi tidak terhenti dengan persaraan tersebut, tetapi beliau terus berperanan dalam masyarakat sebagai pembantu imam dan imam satu masjid Tebuk Mufrad setelah jawatan Imam dikosongkan oleh Haji Khabib Bin Kiyai Haji Khalil.
Sebagai seorang tokoh ilmuan agama, beliau sering mengisi ruang taklim dan ceramah anjuran masjid dan memenuhi jemputan luar sebagai penceramah. Mempunyai pendirian yang tegas dan bersikap positif dalam semua program pembinaan modal insan masyarakat terutama terhadap anak-anak muda di kampung. Ketegasan beliau menyebabkan program imarah masjid terutama di bulan Ramadhan disambut baik oleh remaja dan anak-anak muda kampung. Beliau terpaksa menarik diri dari menjadi Imam satu Masjid Tebuk Mufrad setelah diuji Allah dengan penyakit angin ahmar mulai 2010. Beliau meninggal dunia pada November 2013. Hujan turun dengan lebatnya ketika jenazah dibawa ke kubur untuk dikebumikan.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber - Buku Jejak 100 Tahun Kampungku Tebuk Mufrad