09/11/2021
Makanan sunah, habbatus sauda baru-baru ini menjadi bualan ramai gara-gara ada pihak yang mendakwa kononnya jintan hitam atau nama saintifiknya Nigella Sativa ini mampu menyembuhkan COVID-19.
Waktu itu jika menjengah ke media sosial, ada sahaja kisah mengenai ‘si polan’ yang sembuh daripada virus maut hanya dengan mengambil habbatus sauda setiap hari.
Tidak cukup dengan itu, sponsored content juga lalu-lalang di Facebook mahupun Instagram dengan ayat-ayat pengiklanan serba ajaib.
Malah, ada yang lebih berani menghasut orang ramai supaya menolak vaksin. Dek hebohnya cerita ‘kehebatan’ habbatus sauda ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Februari lalu membahas tentang perkara ini menerusi Forum Perdana Islam.
Ketika program itu, M***i Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin menjelaskan tentang kekeliruan yang timbul berkaitan makanan sunah ini.
Jelas Asri, Nabi tidak hanya bergantung kepada makanan sunah untuk sembuh, sebaliknya kekasih Allah itu tetap merujuk kepada pakar perubatan jika dia jatuh sakit.
Sebenarnya, apa kandungan yang terdapat dalam habbatus sauda ini? Habbatus sauda kaya dengan mineral, karbohidrat dan lemak yang bagus untuk kesihatan. Kandungan zatnya adalah karbohidrat sebanyak 38%, protein (21%) dan asid lemak (35-38%) dan mineral lain (6%).
Mineral lain termasuklah thiamin, niasin, kalsium, folasin, zink dan fosforus. Asid lemak terdiri daripada asid lemak tepu dan tidak tepu yang baik untuk kesihatan dan sistem keimunan badan.
Kehebatan ini sudah diakui sejak zaman-berzaman. Menurut kitab Kanun Perubatan Ibnu Sina, habbatus sauda dikatakan bertindak balas terhadap tubuh badan manusia sebagai penyumbang tenaga dan membantu pemulihan tubuh badan daripada keletihan.