19/06/2025
Lawatan Pemantauan Perjalanan Latihan Provisional Di Premis Latihan Bagi Ahli Farmasi Berdaftar Provisional (PRP) oleh Bahagian Lembaga Farmasi Malaysia (BLFM)
Tarikh: 18 Jun 2025 (Rabu)
Jabatan Farmasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berbesar hati menerima kunjungan rasmi daripada pihak Bahagian Lembaga Farmasi Malaysia (BLFM) yang diketuai oleh Puan Akmalyatun Kamal binti Kamarudin, Pengarah BLFM. Turut hadir bersama ialah:
- Cik Nurulfajar binti Mohd Jamid – Timbalan Pengarah, Cawangan Pengiktirafan & Etika
- Puan Nurul Adha binti Othman – Timbalan Pengarah, Cawangan Pendaftaran
- Puan Datcayani Ramadoo – Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pendaftaran
Lawatan ini turut diiringi oleh wakil Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Terengganu (BPFNT) iaitu Puan Nadyawati binti Che Nordin, Ketua Cawangan Pengurusan Farmasi dan Puan Nor Sobah binti Mohd Shafie, Ketua Penolong Pengarah Farmasi Kanan (Pengurusan).
Tujuan lawatan adalah untuk memantau perjalanan latihan provisional dan perjumpaan bersama preseptor-preseptor di Hospital Sultanah Nur Zahirah yang telah diiktiraf sebagai premis latihan PRP.
Lawatan dimulakan dengan taklimat pengenalan oleh wakil Ketua Jabatan Farmasi dan ucapan daripada Pengarah BLFM yang berlangsung di Farmasi Logistik. Seterusnya, delegasi dibawa meninjau ke unit Farmasi Klinik Pakar dan Farmasi Bekalan Wad untuk memantau pelaksanaan latihan Provisionally Registered Pharmacist (PRP) serta sesi bersama preseptor-preseptor di unit tersebut.
Pihak Jabatan Farmasi HSNZ amat menghargai segala pandangan, cadangan serta maklum balas penambahbaikan yang diberikan sepanjang lawatan ini dan akan dijadikan sebagai panduan ke arah meningkatkan mutu latihan PRP dan perkhidmatan farmasi secara keseluruhan.
Terima kasih diucapkan kepada pihak BLFM atas kunjungan yang bermakna ini. Semoga kerjasama dan jalinan profesional ini terus kukuh demi kecemerlangan profesion farmasi.