
15/06/2025
Etika Medikolegal untuk Petugas Kesihatan – Konteks Malaysia
Ini adalah beberapa poin penting dan ringkasan ilmu yang saya pelajari dalam kursus oleh Jabatan Pendidikan Perubatan UKM hari ini.
1. Tanggungjawab Penjagaan (Duty of Care):
Ia adalah tanggungjawab dari segi etika dan undang-undang terhadap pesakit setelah hubungan doktor-pesakit wujud.
2. Etika dan Undang-Undang adalah berbeza:
Contohnya: Defensive medicine — dari segi undang-undang, ia tidak salah. Tapi secara etika, ia tidak betul kerana doktor mungkin melakukan prosedur tambahan yang tidak perlu kerana takut disaman . Etika menekankan bahawa apa sahaja yang dilakukan mesti berasaskan kepentingan pesakit.
Salah laku dari sudut etika boleh dikenakan tindakan tatatertib (seperti amaran), tetapi tidak semestinya tindakan undang-undang. (Ini dari kefahaman saya ya 😆)
3. Tugas Undang-Undang Doktor:
• Tugas untuk mendiagnos
• Tugas untuk merawat
• Tugas untuk memberi amaran atau nasihat tentang risiko
Jika ada kegagalan dalam mana-mana tanggungjawab ini, ia boleh menyebabkan pengabaian perubatan (medical negligence).
4. Tidak Semua Situasi Perlu Wujud Hubungan Doktor/Perawat kesihatan-Pesakit:
Sekiranya diluar waktu atau bukan di tempat ahli perubatan bertugas, kami boleh memilih untuk tidak mewujudkan hubungan ini secara legal
Contohnya:
• Kawan minta nasihat kesihatan
• Kemalangan di tempat awam
• Soalan kesihatan dari media sosial
Dalam situasi ini, anda boleh beri nasihat umum sahaja dan sarankan mereka mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul. Tetapi sekiranya anda ingin memberikan pertolongan sepenuhnya anda akan ‘legally bound’ kepada senarai undang2 tugas sebagai doktor/perawat kesihatan di no.4
5. Komunikasi Berkesan Adalah Kunci:
Ia boleh mengelakkan aduan dan tindakan undang-undang.
Ingat, pesakit adalah “pakar” dalam kehidupan mereka sendiri. Tugas kita ialah beri maklumat yang cukup agar mereka boleh buat keputusan sendiri mengenai rawatan.
Jika berlaku salah laku, buat “damage control” segera – maklumkan kepada ketua/supervisor dan komunikasi terus dengan pesakit (lebih baik oleh pegawai kanan/pakar/perunding).
6. Risiko Material (Material Risk):
Ini adalah perkara penting yang perlu dijelaskan dalam borang pemberian kebenaran (informed consent) atau penolakan rawatan (AOR).
Contoh: Prosedur di bahagian tekak yang boleh menyebabkan suara serak sementara bagi seorang guru. Kita perlu terangkan dengan lebih jelas kerana suara sangat penting untuk kerjayanya.
7. Rahsiakan Maklumat Pesakit:
Ini adalah tanggungjawab utama kita. Jangan kongsi sebarang maklumat tentang pesakit tanpa kebenaran mereka. Bahkan apa2 jenis gambar sekalipun dari belakang atau tepi.
8. Penjagaan “Chain of Custody”:
Ini bermaksud memastikan bukti (jika ada) dijaga dengan betul supaya boleh digunakan di mahkamah untuk kes jenayah. Rujuk pesakit ke saluran yang betul untuk elak salah urus bukti.
Proses ini sangat teliti dan penuh dengan langkah-langkah terperinci.
9. Undang-Undang Wujud Untuk Lindungi Doktor dan Pesakit:
Tidak tahu undang-undang bukan alasan. Kita perlu ambil tahu agar hubungan pesakit-doktor sentiasa terjaga.
Terima kasih atas usaha hebat pihak penganjur dan para penceramah. Semua maklumat di atas diambil dari kursus tersebut. Akan datang, ada satu lagi kursus pada bulan Julai oleh Jabatan Perubatan Primer UKM — tajuknya nampak sangat menarik!
Penafian: Semua ini berdasarkan pemahaman peribadi saya dari apa yang saya pelajari dalam masa yang singkat 😆. Saya bukan pakar, hanya ingin berkongsi ilmu.