16/06/2024
*HERNIA / ANGIN PASANG*
Hernia berlaku apabila kandungan dalam satu-satu ruang badan (biasanya abdomen) membonjol keluar daripada kawasan yang biasa mereka berada. Kandungan ini biasanya adalah sebahagian usus atau tisu lemak abdomen yang dilapisi oleh lapisan nipis (membran) yang juga akan membentuk kantung hernia/hernia sac. Ia dikenali dengan angin pasang surut kerana sifat bonjolan itu dapat dilihat dan ada masa tidak. Sifat ini dalam bahasa perubatan dikenali sebagai ‘reducible‘.
*Penyebab Hernia (Angin Pasang)*
Hernia yang berlaku di kalangan warga tua samada disebabkan oleh adanya jalan yang terbentuk semasa perkembangan fetus, bukaan sedia ada di dalam ruang abdomen atau kawasan dinding abdomen lemah oleh sebab sesuatu keadaan.
Apa jua keadaan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam ruang abdomen boleh menyumbang kepada pembentukan hernia atau menerukkan lagi hernia. Contoh termasuk:
▪️Obesiti,
▪️Mengangkat objek berat,
▪️Batuk,
▪️Meneran semasa buang air besar atau kecil
▪️Penyakit paru-paru kronik dan,
▪️Ada cecair di dalam ruang abdomen.
*Gejala, tanda-tanda dan komplikasi hernia(angin pasang)*
Gejala dan tanda-tanda hernia adalah berbagai-bagai. Ia boleh jadi ringan iaitu seseorang mengadu menghidapi bonjolan yang tidak sakit yang timbul apabila berdiri atau batuk atau meneran dan masuk balik bila berbaring atau ditolak masuk dengan tangan.
Ada yang datang dengan gejala dan tanda-tanda yang teruk seperti bonjolan yang sakit, tidak boleh disentuh apa lagi ditekan masuk balik ke dalam ruang abdomen, kulit luar mungkin kelihatan merah kehitaman dan pesakit mungkin demam. Ini adalah akibat kandungan bonjolan seperti usus telah mengalami kekurangan bekalan darah akibat himpitan (jerutan) salur darah biasanya di lubang bukaan hernia. Ia dikenali sebagai angin pasang terbelit (strangulated hernia).