15/08/2020
KESEJAHTERAAN atau kelangsungan hidup bukan sekadar menjaga makan dan minum atau bersenam, sebaliknya menghirup udara nyaman dalam persekitaran bersih juga perlu diberi perhatian.
Ketika negara berdepan isu pencemaran udara sejak beberapa tahun lalu, ramai yang tidak menyedari kualiti udara dalam rumah juga tidak terlepas daripada pencemaran.
Kesejahteraan ruang dalaman adalah suatu elemen yang tidak kelihatan, namun boleh mendatangkan bahaya jika tidak diberi perhatian.
Tanpa disedari pencemaran dalam rumah akan sentiasa wujud dan menjadi lebih buruk daripada pencemaran luar sekitar dua hingga lima kali ganda.
Kebanyakan orang cenderung menghabiskan masa di dalam rumah kerana menganggap ia lebih selamat daripada terdedah kepada udara tercemar di luar.
Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pada tahun kebelakangan ini, bukti saintifik menunjukkan udara dalam rumah dan bangunan lain boleh menjadi lebih tercemar daripada udara luar terutama di kota besar serta maju.
Penyelidikan lain juga menunjukkan manusia menghabiskan kira-kira 90 peratus masa di dalam rumah mereka. Oleh itu, bagi kebanyakan orang, risiko kepada kesihatan mungkin lebih besar disebabkan pendedahan kepada pencemaran udara di dalam rumah daripada di luar.