18/11/2018
Petua umum untuk uji madu asli:
Semut:
Ini kerana madu asli/lebah (dihasilkan oleh lebah) turut dihurungi semut kerana mengandungi glukosa ‘monosaccharide’ yang bersifat manis sama seperti yang terdapat pada gula sintetik (juga mengandungi glukosa ‘polisacharide’). Namun, memang ada yang tidak didekati semut kerana terdapat madu asli yang akan mengeluarkan gas (madu asli segar) yang akan membuatkan semut tidak tahan pada tekanannya dan mempunyai keasidan yang agak tinggi. Maka, semut bukanlah penunjuk yang tepat dalam pengujian keaslian madu.
Peti Sejuk:
Madu asli yang mengandungi kandungan air pada kadar 18-22%. Maka, madu asli tetap akan mengeras jika dibiarkan lama di dalam peti sejuk beku terlalu lama. Namun, terdapat juga madu asli yang tetap pada keadaan yang tidak begitu keras disebabkan peratus kadar air yang rendah dan mempunyai kandungan mineral yang bersifat panas yang tinggi. Maka, peti sejuk bukanlah penunjuk yang tepat dalam pengujian keaslian madu.
Pembentukan mendakan kristal: Madu asli juga mengalami pengkristalan/mendakan nuclei sekiranya disimpan pada suhu yang tidak sesuai dan kaedah penyimpanan yang tidak sesuai. Ini kerana, madu asli yang mengandungi glukosa yang tinggi akan keluar dari keadaan super tepu ’supersaturated’ secara spontan membentuk glukosa monohidrat kerana kehilangan air. Maka, terdapatnya pengkristalan bukanlah penunjuk yang tepat dalam pengujian keaslian madu.
Telur:
Madu tiruan juga dapat menghasilkan kuning telur setengah masak. Si penipu ini akan mencampurkan kapur yang bersifat panas di dalam madu tiruannya dengan kadar tertentu sehingga boleh menyebabkan kuning telur akan setengah masak. Awas, sangat berbahaya terhadap kesihatan organ dalaman!
Sudu besi:
tiada kajian ilmiah di dalam memberi penjelasan larangan penggunaan sudu yang diperbuat dari besi. Seandainya, terdapat tindakbalas yang kritikal pastinya akan terus mengubah warna sudu tersebut apatah lagi ada pendapat mengatakan ianya dari hadis dan sebagainya.
Mungkin kurangnya penelitian dan penyelidikan dari sudut teknologi dan agama menyebabkan ramai pengguna hanya menerima sahaja pandangan dari penjual madu yang kurang maklumat. Begitu juga banyak hadis-hadis palsu yang bertebaran mengenai khasiat madu walaupun tidak kurang banyaknya dengan yang sahih.
Di negara maju, analisa yang dibuat menunjukkan penggunaan kaedah penyimpanan yang paling selamat bagi madu adalah dengan menggunakan kaca dan 'stainless steel'.
Madu yang diletakkan di piring putih bersama air kemudian air digerakkan dengan arah pusingan, maka akan terhasil seolah-olah sarang lebah: wallahu'aklam, menurut pemerhatian kami bentuk yang kelihatan bersegi seperti sarang lebah tersebut adalah disebabkan pengaruh kelikatan/kepekatan madu yang terkena pusingan air lalu menjadikannya bersegi seperti hexagon dan pentagon.
Ini kerana jika madu tersebut digantikan dengan cecair yang pekatnya sama seperti madu contohnya dalam percubaan kami shampoo ianya juga menunjukkan keadaan bersegi yang sama.