20/04/2024
Assalamualaikum, lama x mencoret laman muka buku. Arini kaksuzie share citer org lain, kita terbiasa 'menerima' menjadikan kita hilang deria rasa syukur sedangkan ucapan ni boleh mencambah rasa kasih sayang cinta dan bahagia ❤️ dan mematikan rasa sombong.
Haritu terdengar tausiyah ustaz berkaitan hal rumahtangga. Ustaz pesan, jangan biarkan mulut kita lebih banyak berterima kasih dan mendoakan orang lain berbanding pasangan dan anak-anak kita di rumah.
Contohnya, kalau makan di luar, pelayan menghantar sudu, meletakkan makanan semuanya cepat sahaja mulut kita mengucapkan terima kasih. Namun sebaliknya, jika pasangan sendiri berbuat demikian di rumah, langsung tiada senyuman mahupun kata-kata penghargaan.
Apabila bermuamalah dengan orang luar laju kita mendoakan ‘semoga murah rezeki’, ‘semoga berkat selalu,’ Namun dengan pasangan jarang sekali kita terdetik mahu mendoakan sedemikian secara spontan apabila teringatkan mereka, atau tatkala mereka ada di sisi kita.
-
Ustaz bercerita lagi, suatu hari seorang Syeikh datang bertamu ke rumahnya. Seperti biasa, isteri ustaz akan bertungkus lumus menyiapkan juadah. Dan apabila Syeikh menjamu makanan tersebut, terus dia memuji dan bertanya,
“Siapa yang memasak semua ini?”
Ustaz menjawab, “isteriku,”
Syeikh lalu berkata, “Semoga kedua-dua tangan yang bersusah payah menyediakan juadah ini diselamatkan dari azab api neraka,”
Terpana ustaz ketika itu kerana orang luar lebih menghargai isterinya sedangkan dia selama ini pun terlepas pandang untuk mendoakan sedemikian.
Ustaz kata, biasakan mengucapkan terima kasih, memuji dan mendoakan pasangan kita. Apatah lagi apabila kita nampak kesusahan dan kepayahan mereka melakukan sesuatu itu.
-
Suami doakan isteri. Isteri juga doakan suami. Saling mendoakan sebagai tanda kasih sayang kerana Allah.
Nampak suami keletihan pulang dari mencari nafkah, doakanlah suami, “semoga tubuh badan yang kepenatan ini Allah haramkan dari diazab api neraka,”
“Semoga segala kepenatanmu Allah ganjarkan dengan kerehatan yang nyaman di dalam syurga,”
Insya-Allah aamiin. Begitu jugalah sebaliknya.
Apabila suami menyaksikan isteri kepenatan memasak, menyus**an anak-anak, mengemas rumah dan sebagainya, ringankanlah mulut untuk berdoa di hadapan mereka.
“Semoga semua kepenatan isteriku ini balasannya syurga,”
Jujur, isteri solehah mana yang tak tersentuh apabila didoakan sedemikian? Insya-Allah kepenatan tersebut akan hilang diganti rasa syukur dan bahagia.
Suami dan isteri, sama-sama kita perbaiki. Semoga kita berusaha membina syurga di dalam rumahtangga sebelum benar-benar berkumpul sekeluarga dalam syurgaNya kelak. Allahul musta’an.
-
Intan Dzulkefli
10 Syawal 1445H | 19042024
Muhasabah diri