13/02/2021
Pembedahan Torasik (rongga dada).
Di dalam bidang pembedahan masakini, terdapat banyak pengkhususan, dan salah satu diantaranya ialah Pembedahan Torasik.
Rongga dada termasuk struktur luaran kulit, lemak, otot, tulang rusuk dan sternum, hinggalah organ dalaman paru-paru dan lapisannya (pleura), saluran pernafasan (trakea dan bronki), jantung bersama lapisan perikardium dan pembuluh darah utama, kelenjar thymus dan limfa, saluran makanan oesophagus dan otot diaphragma.
Di kebanyakan negara, pembedahan jantung dan torasik, dipisahkan menjadi dua cabang yang berbeza , pakar bedah jantung ( kardiovaskular) dan pakar bedah torasik.
Di Malaysia, ada dua kategori doktor yang melakukan pembedahan torasik
1. Pakar Bedah Kardiotorasik
Mereka lebih menyeluruh dan boleh melakukan pembedahan pada keseluruhan organ dada, namun kebanyakan lebih fokus pada pembedahan jantung dan pembuluh darah utama seperti aorta.
Bilangan mereka lebih ramai dan terdapat di kebanyakan hospital utama kerajaan seperti di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, Hospital Serdang, Hospital Pulau Pinang, Hospital Umum Sarawak, Hospital Universiti dan juga di Institut Jantung Negara.
2. Pakar Bedah Am dan Torasik
Mereka terdiri daripada pakar bedah am yang mengambil pengkhususan atau subkepakaran di dalam bidang torasik, melakukan semua pembedahan pada organ dada KECUALI jantung dan pembuluh darah utama.
Buat masa ini, bilangan mereka tidak ramai dan hanya tertumpu di Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital swasta.