02/03/2026
Kasih Sayang Yang Merentas Sempadan
Selalu kita berfikir, taubat itu hanyalah urusan antara kita dengan Tuhan.
Kita menangis mengenangkan dosa sendiri.
Tetapi hari ini, Nabi Ibrahim a.s. mengajar kita bahawa seorang hamba yang baik tidak akan pernah melupakan asal usulnya apabila menadah tangan.
Doa ini merakamkan kelembutan hati Nabi Ibrahim.
Walaupun ayah baginda (Azar) merupakan seorang pembuat berhala dan menentang dakwahnya, Nabi Ibrahim tetap memohon keampunan untuk ayahnya.
Baginda terus berdoa sehinggalah ayahnya meninggal dunia dalam keadaan kufur (barulah larangan mendoakan orang kafir turun).
Bayangkan, seorang Nabi yang ditentang oleh ayahnya sendiri pun masih punya simpati dan belas ihsan untuk memohon ampun.
Bagaimana p**a dengan kita yang mempunyai ibu bapa yang membesarkan kita dengan peluh, air mata, dan iman?
Kadangkala, rezeki kita sempit atau hati kita rasa gelisah bukan kerana dosa besar, tetapi kerana kita 'kedekut' untuk mendoakan keampunan buat ibu ayah.
Apabila kita memohon ampun untuk mereka, sebenarnya kita sedang melembutkan hati kita sendiri.
Bagi ibu bapa yang telah pergi menghadap Ilahi, doa ini adalah satu-satunya 'kiriman bungkusan' yang paling mereka nantikan setiap hari di alam barzakh.
Ia lebih bermakna daripada air mata kesedihan kita.