29/09/2020
Bukan semua sakit perut adalah 'Gastrik'!
Seorang pesakit wanita masuk ke dalam bilik doktor sambil membongkok memegang perut menahan kesakitan.
Doktor bertanya kepada beliau,
Sakit apa Puan?
Dengan spontan dia menjawab 'Gastrik!'.
Doktor bertanya lagi dan dia mengulangi jawaban yang sama iaitu 'Saya kena gastrik!'
Doktor bertanya lagi sudah berapa lama sakit dan bagaimana keadaan sakit tersebut?
Beliau menjawab
'Saya sudah sakit selama 3 hari, bermula dengan bahagian ulu hati dan sekarang ke bahagian kanan bawah perut dan sakit berterusan'.
'Saya sudah beli ubat gastrik di Farmasi dan kemudian telah berjumpa doktor di klinik lain dan telah diberikan juga ubat gastrik tapi sakit saya bertambah teruk....'
Katanya tersekat-sekat sambil menahan kesakitan.
Setelah menjalani ujian klinikal dan melakukan pemeriksaan ke atas beliau, saya mendapati pesakit menghidap demam tinggi dengan suhu 38.5°C, tekanan darah normal tetapi denyutan nadi dan bacaan gula yang agak tinggi.
Tanpa membuang masa, ujian darah 'Full blood count' FBC dan ujian urine (UFEME) dijalankan dan dalam 15 minit keputusan telah diperolehi.
Sel darah putih beliau terlalu tinggi melepasi paras normal dan sel Neutrophil juga terlalu tinggi.
Berpandukan pemeriksaan klinikal dan ujian FBC, doktor merumuskan bahawa pesakit menghidap penyakit 'Acute Appendicitis' dan setelah berbincang dengan pesakit dan keluarganya, kes telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.
Bukan semua sakit perut adalah gastrik.
Pesakit tidak perlu memberi tahu 'diagnosis' penyakit kepada doktor, cukup hanya memberi tahu gejala atau simptom dan biarlah doktor yang membuat 'diagnosis'.
Sakit perut adakalanya membahayakan dan sekiranya lambat dirawat akan membawa mudarat dan boleh berakhir dengan kematian.
Semoga catatan ini dapat memberi manfaat semua.