06/02/2026
LAWATAN KERJA PEMANTAUAN UNIT EKONOMI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR (MAINJ) KE PUSAT HEMODIALISIS MAINJ URUS SDN. BHD
Jumaat,6 Februari 2026 - Pusat Hemodialisis MAINJ Urus Sdn. Bhd. amat berbesar hati menerima kunjungan Tuan Haji Mohd Radzi Zainal Abidin, Penolong Pengarah Ekonomi, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), dalam rangka Lawatan Kerja Pemantauan Unit Ekonomi MAINJ.
Lawatan ini merupakan langkah kesinambungan dan sokongan berterusan pihak MAINJ kepada pengurusan serta seluruh warga kerja Pusat Hemodialisis MAINJ Urus Sdn. Bhd.
Lawatan tersebut turut diiringi oleh Puan Endok Khairunisak Binti Hj Beduroding, Penolong Pegawai Tadbir Ekonomi MAINJ dan Puan Yasmin Binti Othman, Pembantu Tadbir Ekonomi MAINJ. Ketibaan pihak MAINJ disambut oleh Pengurus Besar MAINJ Urus Sdn. Bhd., Puan Andek Nurraha Binti Bachok, bersama barisan pengurusan serta kakitangan Pusat Hemodialisis MAINJ Urus Sdn. Bhd.
Tujuan utama lawatan ini adalah sebagai satu langkah pemantauan bagi melihat perjalanan operasi terkini syarikat serta lain-lain perkara berbangkit yang berkaitan. Selain itu, lawatan kerja ini juga merupakan ruang untuk menilai pencapaian semasa, pelaksanaan strategi dan tadbir urus MUSB sebagai anak syarikat MAINJ adalah selaras dengan objektif penubuhannya. Sesi perbincangan juga merangkumi hala tuju dan pelan perancangan syarikat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan rawatan dialisis yang berkualiti, mampan dan menepati keperluan pesakit serta keperluan-keperluan lain agar aktiviti perjalanan operasi syarikat berjalan dengan lancar. Sesi perbincangan ini berlangsung dalam suasana yang profesional, terbuka dan konstruktif.
Setelah selesai sesi perbincangan, Tuan Haji Mohd Radzi Zainal Abidin turut dibawa melawat sekitar kawasan dan fasiliti Bangunan Pusat Hemodialisis MAINJ Urus Sdn. Bhd. bagi melihat secara langsung operasi, kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan kepada pesakit.
Pihak pengurusan MAINJ Urus Sdn. Bhd. merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Haji Mohd Radzi Zainal Abidin, serta para pegawai MAINJ atas kesudian meluangkan masa, sokongan berterusan dan komitmen yang ditunjukkan dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan dialisis demi kebajikan masyarakat.