27/08/2024
Pada 1 Ogos 2024, Unit Terapi Pertuturan – Bahasa dari Jabatan Perubatan Rehabilitasi, bersama dengan Jabatan Dietetik, Jabatan Otorinolaringologi, dan 20dB Hearing, telah menganjurkan Program Bulan Kesedaran Penelanan di Pusat Aktiviti Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan, Ampangan Seremban. Program ini menampilkan booth-booth kesihatan yang memfokuskan kepada isu penelanan dan tekstur pemakanan yang selamat.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat, terutamanya warga emas, mengenai penelanan serta jenis tekstur pemakanan yang sesuai. Program ini juga bertujuan untuk menekankan kepentingan rehabilitasi dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas. Selain itu, peserta diberi peluang untuk bertanya secara terbuka kepada pakar mengenai masalah penelanan dan jenis tekstur pemakanan yang selamat, serta mendapatkan maklumat mengenai kesihatan pendengaran.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Syafinaz Binti Amin Nordin, yang turut berkongsi pendedahan penting dengan masyarakat. Majlis dimeriahkan dengan goodies bag yang ditaja oleh Yayasan Mr.D.I.Y, Deahan Rehabilitation Hospital Putrajaya, Pharm-D, serta hadiah cabutan bertuah oleh Farmasi Al-Arif.
Kami berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran di kalangan warga emas. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jabatan dan penaja yang telah menjayakan program ini, termasuk Yayasan MR.D.I.Y, Deahan Rehabilitation Hospital Putrajaya, Farmasi Al-Arif, dan Pharm-D.