29/11/2024
Metodologi Dalam Merawat Sihir
Bismillah was shalatu was salamu ‘ala rasulillah, amma ba’du.
1.Mengeluarkan dan memusnahkan barang sihir jika diketahui tempatnya dengan cara yang dibolehkan syariat. Ini merupakan metode paling berkesan untuk mengubati orang yang terkena sihir.[ Zaadul Ma’ad (4/114)]
2. Membaca ruqyah-ruqyah yang disyariatkan. Para ulama telah bersepakat bolehnya menggunakan ruqyah sebagai pengubatan apabila memenuhi tiga syarat [Fathul Baari (10/195)].
Pertama: Hendaklah ruqyah tersebut dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran atau dengan Asmaul Husna atau dengan sifat-sifat Allah Azza wa Jalla, atau dengan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam.
Kedua: Ruqyah tersebut dengan menggunakan bahasa Arab, atau dengan bahasa yang difahami maknanya.
Ketiga: Orang yang meruqyah dan yang diruqyah meyakini bahawa ruqyah tersebut tidak mampu memberikan kesembuhan melainkan dengan kekuasaan Allah Azza wa Jalla. Kerana ruqyah hanyalah salah satu sebab di antara sebab-sebab untuk mendapatkan kesembuhan kesembuhan. Dan hanya Allah yang berkuasa untuk menyembuhkan.
Selain itu, perkara yang sangat penting untuk diperhatikan ialah ruqyah akan memberikan kesan yang efektif apabila orang yang terkena sihir dan orang yang merawat sama-sama memiliki keyakinan yang kuat kepada Allah Azza wa Jalla, bertawakkal kepada-Nya semata, bertakwa dan mentauhidkan-Nya, serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa Al-Quran adalah penyembuh bagi penyakit dan rahmat bagi orang-orang beriman. Jika hal ini tidak dipenuhi, maka ruqyah tersebut tidak akan memberikan kesan kepada penyakitnya, kerana ruqyah itu merupakan ubat mujarab yang diajarkan oleh syariat. Namun ibarat senjata, setajam mana pun ia, jika berada di tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya, maka senjata itu tidak memberikan banyak manfaat. [Ad Du’a Min Al Kitab Wa As Sunnah, hlm. 80-82 dengan ringkasan]
Telah berkata Ibnu At Tiin rahimahullah: “Ruqyah dengan membaca mu’awwidzat atau dengan nama-nama Allah Subhanahu wa Ta'ala merupakan pengubatan rohani, dan akan memberikan kesan efektif apabila dibaca oleh hamba-Nya yang soleh, kesembuhan pun akan diperoleh dengan izin Allah Azza wa Jalla”.
3.Mengeluarkan sihir tersebut dengan melakukan bekam pada bahagian tubuh yang kelihatan kesan sihir.
Imam Ibnu Qayyim rahimahullah telah menjelaskan rahsia bekam di bahagian yang terkena sihir. Meneurut beliau, sihir itu tersusun daripada pengaruh ruh-ruh jahat dan mempunyai respon kekuatan yang lahir daripada ruh jahat tersebut. Ini adalah jenis sihir yang paling kuat, terutama pada bahagian tubuh yang menjadi pusat sihir tadi. Maka bekam pada bahagian tersebut merupakan metode rawatan yang sangat efektif bila dilakukan dengan cara yang tepat.[Zaadul Ma’ad (4/115)]
4.Menggunakan ubat/bahan rawatan yang dinyatakan dalam Al-Quran dan Sunnah, dengan diiringi keyakinan penuh terhadap kebenaran firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dan sabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam. Antaranya ialah dengan menggunakan madu, habbahtus sauda`, air zam-zam, dan minyak zaitun
Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :"Pengubatan itu ada dalam tiga perkara iaitu berbekam, minum madu dan pengubatan dengan besi panas. Sedangkan aku melarang umatku menggunakan pengubatan dengan besi panas". [Riwayat Bukhari, hadis No.5680 dan 5681, Al Fath (10/137).
Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya habbahtus sauda’ ini merupakan ubat bagi segala jenis penyakit, kecuali as saam”. Aku (‘Aisyah radhiyallahu 'anha) bertanya, ”Apakah as saam itu?” Baginda shallallahu 'alaihi wa sallam menjawab,”Kematian." [Bukhari, hadis No. 5687 dan 5688, Muslim, hadis No. 2215]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Air zam-zam itu bergantung kepada niat orang yang meminumnya". [Riwayat Ibnu Majah, hadis No. 3062.]
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Makanlah minyak zaitun dan minyakkan rambut kalian dengannya, kerana sesungguhnya ia berasal daripada pohon yang diberkahi".[Riwayat At Tirmizi, hadis No. 1851 dan Ibnu Majah, hadis No. 3319]
Demikianlah secara ringkas penjelasan mengenai metodologi dalam merawat sihir. Seharusnya seorang muslim terutama pemimpin keluarga, untuk mengetahui perkara ini dan mengajarkan kepada keluarganya. Semoga kita sentiasa mendapat perlindungan Allah daripada segala kejahatan makhluk-Nya.
“Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah:102)
Wallaahu khairul musta'an...