09/05/2026
Ramai yang bertanya, jadi PHM sediakan jawapan berkenaan perbezaan Leptospirosis & Hantavirus.
Dua-dua memang boleh berkait dengan tikus, tetapi cara jangkitan dia sangat berbeza.
Leptospirosis biasanya dikaitkan dengan air atau tanah yang tercemar dengan kencing haiwan. Sebab itu risiko lebih tinggi bila terdedah kepada air banjir, longkang, lumpur, atau kawasan kotor, terutama kalau ada luka kecil pada kulit.
Hantavirus p**a lebih dikaitkan dengan habuk atau udara tercemar daripada najis, kencing atau air liur tikus yang sudah kering. Sebab itu najis tikus tak boleh terus disapu atau divakum, kerana partikel halus boleh berterbangan dan masuk ke saluran pernafasan.
Senang cerita, kalau leptospirosis, kita lebih risau tentang air tercemar. Kalau hantavirus, kita lebih risau tentang habuk tercemar. Nampak macam sama, tapi bahayanya datang melalui jalan yang berbeza.
Kalau ikut Malaysia, leptospirosis jauh lebih common.
Ia memang penyakit yang kita lebih biasa jumpa, terutama selepas banjir, aktiviti air terjun, sungai, longkang, lumpur, kawasan kebun atau tempat yang ada air/tanah tercemar. Leptospirosis juga memang penyakit yang dipantau dan dilaporkan di Malaysia.
Hantavirus p**a jauh lebih jarang di Malaysia.
KKM memaklumkan risiko jangkitan hantavirus di Malaysia ketika ini rendah, walaupun orang ramai tetap dinasihatkan berhati-hati dengan tikus, najis dan air kencingnya.
Rawatan pun berbeza.
Leptospirosis disebabkan bakteria, jadi ia boleh dirawat dengan antibiotik. CDC menyatakan antibiotik seperti doxycycline atau penicillin digunakan, dan rawatan awal boleh membantu mengurangkan risiko penyakit menjadi teruk. Kes yang serius mungkin perlukan antibiotik melalui IV di hospital.
Hantavirus p**a disebabkan virus. Antibiotik tidak membunuh virus ini. Rawatan utama ialah sokongan badan sementara badan melawan jangkitan, terutama menjaga pernafasan, tekanan darah, cecair badan, buah pinggang dan komplikasi lain.
Jadi kalau jumpa tanda-tanda kehadiran tikus di rumah atau tempat kerja, jangan ambil mudah. Jaga kebersihan, kawal tikus, elak sentuhan dengan air tercemar, dan bersihkan najis tikus dengan cara yang betul. Ilmu kecil macam ini kadang-kadang boleh melindungi nyawa.