29/01/2024
Perkara Penting Anda Perlu Tahu Berkaitan Hibah Takaful
Perancangan harta merupakan sesuatu yang amat digalakkan dalam Islam. Ia bagi memastikan waris atau keluarga yang ditinggalkan tidak akan menghadapi masalah terutamanya berkaitan kewangan. Selain itu, hibah juga bertujuan untuk mengelakkan pertelingkahan semasa urusan pembahagian harta pusaka dilakukan.
Oleh sebab itu, hibah merupakan salah satu instrumen yang digalakkan bagi membolehkan anda melakukan perancangan kewangan dan harta dengan baik.
Apa itu Hibah Takaful?
Hibah takaful atau hibah bersyarat digunakan oleh syarikat takaful untuk kaedah pembayaran tuntutan wang pampasan takaful apabila pemilik takaful meninggal dunia. Melalui takaful hibah ini, pembahagian wang pampasan takaful akan diberikan kepada penerima hibah yang dinamakan di dalam polisi hibah setelah kematian pemilik takaful. Ahli keluarga atau waris yang lain tidak boleh mempertikaikan harta yang dihadiahkan kepada penerima hibah tersebut.
Hukum Hibah Takaful
Hukum melakukan hibah adalah sunat dan digalakkan dalam Islam. Takaful ditakrifkan sebagai permuafakatan sekump**an individu untuk saling menjamin dan membantu antara satu sama lain. Ia bagi memenuhi keperluan tertentu yang dipersetujui seperti memberi pampasan sekiranya berlaku apa-apa musibah serta keperluan kewangan yang lain.
Majlis Penasihat Syariah pada mesyuarat ke-24 bertarikh 24 April 2002 telah memutuskan bahawa model perniagaan takaful yang berasaskan tabarru` (sesama peserta) dan wakalah (antara peserta dan syarikat takaful) adalah dibenarkan. Mengambil kira pampasan dibayar adalah berdasarkan konsep hibah, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara memutuskan bahawa pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka.
Ia juga tidak tertakluk kepada hutang peserta takaful yang meninggal dunia sama seperti pampasan yang diperoleh daripada kematian peserta, wang pampasan tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan seumpamanya. Sumber: M***i WP
Rukun, Syarat Hibah Takaful
Secara asasnya, terdapat empat hukum hibah iaitu:
Pemberi hibah;
Penerima hibah;
Barang atau harta hibah;
Akad.