30/07/2024
Dalam usaha memperkasakan kepimpinan dan komuniti desa, KKDW menganjurkan Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada kampung yang berjaya menzahirkan aspirasi kampung sejahtera selari dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) serta konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan.
Program ini juga bertujuan untuk mengangkat martabat kepimpinan komuniti sebagai pemangkin kepada transformasi masyarakat luar bandar serta membangunkan komuniti desa MADANI yang berpaksikan enam (6) teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Penilaian ADM peringkat negeri yang kini sedang berlangsung secara berperingkat dijadualkan akan selesai menjelang September tahun ini dengan penglibatan 118 buah kampung dari 12 buah negeri.
Johan bagi setiap negeri akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.00 beserta piala iringan dan sijil penghargaan.
Diharapkan penganjuran ADM ini mampu menjayakan agenda Kementerian dalam memperkasa komuniti luar bandar yang berdaya maju, mampan dan memenuhi keperluan masa hadapan di samping menjadi pemangkin semangat untuk bergerak aktif dalam pembangunan sosio-ekonomi luar bandar di negara ini.