01/10/2025
MyAgeing UPM Perkasa Agenda Penuaan Sempena IDOP 2025
SERDANG, 1 Oktober – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyemarakkan sambutan Hari Warga Emas Sedunia (International Day of Older Persons, IDOP) 2025 dengan pelbagai program berimpak tinggi melibatkan dasar, media, komuniti dan industri.
Pengarah MyAgeing®, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim berkata, Oktober dijadikan platform untuk menghimpunkan naratif dan bukti bagi memperkukuh dasar, memandu program, serta memperluas kesedaran awam tentang isu penuaan.
Antara inisiatif utama ialah Cherita MyAgeing, siri podcast yang mengetengahkan kisah warga emas dan penjaga di Malaysia. Berteraskan konsep "narrative ageing", ia bertujuan membuka wacana baharu tentang penuaan, memecah stereotaip dan menyemai kefahaman masyarakat.
Pada 8 Oktober, MyAgeing® dengan kerjasama Malaysian Ageing Research Network (MARN) akan menganjurkan seminar dalam talian. Sepanjang bulan ini, turut berlangsung siri latihan mikro serta forum untuk profesional, pelajar, penjaga, pembuat dasar dan komuniti yang terlibat dengan warga emas.
Sementara itu, Pameran Bertema Hari Warga Emas Kebangsaan - Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita, yang dianjurkan bersama Perpustakaan Sultan Abdul Samad / Universiti Putra Malaysia Library, UPM dan University of the Third Age, Malaysia (Univesiti Era Ketiga Malaysia - U3A Malaysia) memberi fokus kepada kesedaran awam mengenai gerontologi. Pameran ini menampilkan sorotan penyelidikan, “Faces of Ageing Malaysians”, inovasi geronteknologi dan reka bentuk mesra usia – dipersembahkan dalam bentuk yang mudah difahami dan praktikal untuk rumah, komuniti dan tempat kerja.
Menjelang November, MyAgeing® akan memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan rakan strategik dari Republik Korea, Republik Filipina dan United Kingdom, selain meneroka kolaborasi industri untuk memperluas penyelesaian penuaan mampan.
Ringkasan Aktiviti Sambutan Hari Warga Emas MyAgeing® 2025
• Cherita MyAgeing: siri podcast berteraskan "narrative ageing".
• 8 Oktober: Seminar dalam talian bersama MARN.
• Forum dasar, komuniti dan latihan mikro untuk akademia serta agensi kerajaan.
• Pameran bertema "Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita" bersama Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM & U3A Malaysia.
• November: peluasan kerjasama antarabangsa (Republik Korea, Republik Filipina, United Kingdom) dan kolaborasi industri.
Untuk maklumat lanjut sila layari https://myageing.upm.edu.my/sambutan_hari_warga_emas-4642