20/06/2025
Walaupun kampus UKM di tengah bandar Kuala Lumpur terhad ruangnya, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) melalui Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) tetap proaktif menganjurkan program Eco-Campus Kampus Kuala Lumpur bagi memupuk pengetahuan, kemahiran dan kesedaran tentang gaya hidup lestari.
Antara inisiatif yang dijalankan termasuklah mempromosi pengambilan sayur-sayuran dan membina tiga kebun bandar – dua di Kampus Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan satu di kediaman pelajar Jalan Temerloh – dengan lebih 60 jenis tanaman ditanam di kawasan seluas 6,000 kaki persegi.
Projek ini mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi, Kolej Tun Syed Nasir serta Jabatan Pertanian Malaysia. Kafe kampus turut menyokong inisiatif ini dengan mengurangkan penggunaan cawan plastik.
Menurut Pro Naib Canselor (Strategi dan Kewangan), Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, projek ini selari dengan Pelan Strategi Kelestarian UKM dan menyokong empat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB: Kesihatan Baik, Tiada Kelaparan, Pendidikan Berkualiti dan Komuniti Lestari.
Ketua projek, Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf menyatakan lebih 100 pelajar dan staf terlibat secara langsung sebagai Eco-Campus Warriors, dengan bimbingan penyelidik dalam aktiviti berkebun, kitar semula, mural, dan penghasilan produk berasaskan hasil kebun.
Beliau berharap semua peserta dapat terus mengamalkan gaya hidup lestari walaupun selepas menamatkan pengajian, demi membentuk komuniti sihat dan mapan.