14/02/2021
Vaksin COVID-19 mula tunjuk keberkesanan
Vaksin COVID-19 mula menunjukkan petanda baik apabila berlaku penurunan kes jangkitan di negara yang telah mulakan program imunisasi lebih awal.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr Kalaiarasu Peariasamy berkata, UAE dan Israel menunjukkan petanda baik selepas menggunakan vaksin COVID-19.
Katanya, kes jangkitan terutama dalam kalangan warga emas dan golongan berpenyakit kronik telah mula menurun.
"Di Israel, jangkitan dalam kumpulan umur 60 tahun telah menurun antara 30-40%.
"Begitu juga di UAE, kemasukan pesakit bergejala ke hospital semakin berkurang," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda Awani di Astro Awani.
Dalam satu kajian di Israel, daripada 523,000 yang divaksin, hanya 544 dijangkiti COVID-19 termasuk 15 dimasukkan ke hospital.
UAE dan Israel, antara negara terawal memulakan program imunisasi dan dilaporkan telah memberi vaksin antara 30-40% populasi.
UAE menggunakan vaksin SinoPharm (UAE adalah negara pertama meluluskan penggunaan vaksin SinoPharm dari China) manakala Israel vaksin Pfizer.
Selain vaksin, pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan meningkatkan kebersihan diri turut menjadi faktor penurunan kes, kata Dr Kalaiarasu lagi.
Amalan pencegahan perlu terus diamalkan sehingga imuniti berkelompok atau herd immunity dibentuk, jelasnya.
Dr Kalaiarasu berkata, kesan positif vaksin akan lebih ketara selepas lebih ramai rakyat di negara-negara besar mengambil vaksin seperti di Amerika Syarikat, UK dan Indonesia.
Kira-kira 150 juta dos vaksin telah diagihkan ke 75 negara di seluruh dunia.
Vaksin Pfizer paling banyak diguna, diikuti vaksin AstraZeneca, Moderna, SinoPharm, Sputnik V dan Sinovac.