02/04/2026
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan penuh takzim memaklumkan bahawa sebanyak tiga (3) kes pendermaan organ dan tisu telah berjaya disempurnakan setakat Mac 2026.
Pihak pengurusan HSNZ merakamkan ucapan takziah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli keluarga penderma atas keikhlasan serta kemuliaan hati membenarkan urusan pendermaan ini dilaksanakan.
Keputusan untuk mendermakan sebahagian daripada diri insan tersayang merupakan sebuah pengorbanan yang amat bermakna bagi memberikan sinar kehidupan baharu kepada pesakit yang memerlukan. Semoga amal jariah ini menjadi pahala berterusan buat penderma dan sumber kekuatan buat keluarga yang ditinggalkan.
Berikut adalah ringkasan perolehan organ dan tisu bagi tahun 2026:
• Kes Pertama (Januari 2026): Dua buah pinggang, sebelah mata (kornea), dan tulang.
• Kes Kedua (Februari 2026): Sepasang mata (kornea).
• Kes Ketiga (Mac 2026): Dua buah pinggang dan hati.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak dan petugas kesihatan yang terlibat dalam memastikan pengurusan pendermaan ini berjalan dengan lancar dan teratur.
Besarlah harapan kami agar kesedaran dan penerimaan masyarakat di Terengganu terhadap pendermaan organ terus meningkat demi membantu lebih banyak nyawa di luar sana.