14/09/2016
Situasi terkini Zika Di Malaysia
SITUASI ZIKA DI MALAYSIA 13 SEPT 2016 DUA KES JANGKITAN BARU.
Pada 11 dan 13 September 2016, dua (2) laporan mengenai kes ke-5 dan ke-6 jangkitan Zika yang merupakan adik-beradik telah diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kes ke-5 melibatkan seorang pesakit wanita berumur 35 tahun yang hamil 2 bulan dan menetap di Miri, Sarawak. Pada 6 September pesakit telah datang ke klinik swasta kerana mengalami demam yang berpanjangan dan selsema serta sakit tekak. Keputusan ujian Zika yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur dan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan keputusan adalah positif untuk Zika. Pesakit telah dimasukkan ke hospital di Miri pada 11 September 2016 untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut. Pesakit pernah bekerja di Singapura sebelum ini dan kali terakhir melawat ke sana pada 24 Julai hingga 29 Julai 2016. Semua enam (6) orang ahli keluarga yang tinggal serumah dengan pesakit didapati tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika.
Kes ke-6, merupakan kontak dan kakak kepada kes ke-5, yang berumur 39 tahun menetap di Setapak, Kuala Lumpur dan telah dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur pada 11 September 2016. Pada 6 September 2016, pesakit mula menunjukkan gejala ruam. Pesakit ini mempunyai sejarah mengunjungi adiknya di Miri, Sarawak pada 26 Ogos 2016 dan pulang ke Kuala Lumpur pada 6 September 2016.
Aktiviti pencegahan dan kawalan vektor telah dilaksanakan di kawasan kediaman pesakit-pesakit. Ini termasuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes, larvasiding, pengkabutan dan pendidikan kesihatan kepada jiran-jiran di kawasan perumahan tersebut.
Bermula dari 1 September hingga 14 September 2016, sebanyak enam (6) kes yang disahkan positif Zika di seluruh negara. Bagi tempoh sama, pemantauan KKM juga mendapati sebanyak 68 kes yang mempunyai tanda-tanda Zika telah dilaporkan, namun kesemua mempunyai keputusan ujian yang negatif.
KKM ingin mengingatkan semua masyarakat termasuk wanita hamil, perlu melindungi diri dari gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan. Penggunaan aerosol juga digalakkan di dalam rumah terutama di bawah meja, belakang langsir atau tempat-tempat yang gelap. Semburan aerosol boleh dilakukan pada waktu nyamuk aktif menggigit iaitu di antara 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang. Bagi individu yang mengalami gejala seperti demam, ruam dan konjunktivitis serta mempunyai sejarah melawati kawasan yang melaporkan Zika perlu berjumpa doktor dengan segera. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi.
YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
13 September 2016