28/01/2026
https://www.facebook.com/share/
1AWNXG6Q8r/?mibextid=wwXIfr
Mak ada Asma, Ayah ada Resdung, tiba-tiba Anak kena Ekzema?
Jangan pelik. Ini bukan sebab "terkenan" atau salah makan waktu mengandung.
Ini adalah fenomena genetik yang dipanggil "Atopic March" (Langkah Atopik).
Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa Ekzema, Asma (Lelah), dan Resdung (Allergic Rhinitis) adalah "Tiga Beradik" dalam satu keluarga penyakit yang dipanggil ATOPY.
Puncanya sama: Sistem imun badan yang "over-sensitive" kepada persekitaran, yang diwarisi melalui genetik.
Bagaimana "Atopic March" berlaku?
Ia ibarat satu perjalanan penyakit mengikut usia anak:
Fasa 1 (Bayi - Kanak-kanak Awal):
Bermula pada kulit. Kulit bayi menjadi kering, gatal, dan merah (Ekzema). Ini tanda pertahanan kulit (skin barrier) lemah.
Fasa 2 (Kanak-kanak Sekolah):
Bila ekzema mula berkurang, penyakit "berjalan" naik ke hidung. Anak mula kerap bersin pagi-pagi, hidung gatal dan tersumbat (Resdung/Rhinitis).
Fasa 3 (Remaja/Dewasa):
Akhir sekali, ia mungkin menyerang paru-paru. Anak mula batuk malam, nafas berbunyi, dan perlukan inhaler (Asma).
Adakah semua anak ekzema akan dapat asma?
Tidak semestinya. Tetapi risikonya jauh lebih tinggi berbanding anak biasa.
Apa mak ayah boleh buat?
Kunci utamanya adalah "Kawal Pintu Masuk". Pintu masuk utama untuk bayi adalah KULIT.
Kajian menunjukkan jika kita berjaya kawal ekzema bayi dengan baik (rajin sapu pelembab/moisturizer) dan kuatkan benteng kulit sejak awal, kita mungkin boleh "memutuskan" rantaian Atopic March ini daripada melarat ke paru-paru.
Jadi, jangan pandang remeh bila kulit anak kering. Sapu pelembab sekarang sebelum ia melangkah ke organ lain.