08/09/2024
*TANGKIS BERITA PALSU*
Perkembangan teknologi sememangnya memberi banyak manfaat kepada pengguna. Maklumat berkaitan pelbagai perkara, termasuk isu kesihatan dan perubatan dapat disebarkan ke seluruh dunia.
*KESAN PENYEBARAN MAKLIMAT TIDAK SAHIH*
Terdapat sesetengah pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan ubat-ubatan dan menyebabkan segelintir individu terpedaya dan akhirnya mempengaruhi cara mereka mengambil ubat-ubatan.
Penularan maklumat tidak sahih menjadi lebih serius sekiranya berita palsu tersebut berkaitan dengan pandemik.
Sebagai contoh, berita palsu tentang jangkitan, rawatan dan langkah pencegahan wabak COVID-19 telah menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan orang awam. Malah, informasi yang mengelirukan tentang vaksin COVID-19 telah menyebabkan sesetengah individu menolak untuk mendapatkan suntikan vaksin ini.
*SUMBER-SUMBER UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT SAHIH TENTANG UBAT-UBATAN*
1) Dapatkan dari sumber yang mempunyai kredibiliti agar informasi yang diperoleh adalah lebih berkualiti dan boleh dipercayai. Contohnya ahli profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi yang terlibat dalam rawatan pesakit sendiri.
2) Orang awam boleh mengemukakan pertanyaan kepada pegawai yang bertugas di Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian bebas tol 1-800-88-6722. NPCC beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, setiap Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum).
3) Laman web dan portal agensi di bawah KKM turut menyediakan informasi yang berguna dan sahih untuk rujukan orang awam termasuklah laman web Kenali Ubat Anda, laman web Info Sihat dan portal MyHealth.
4) Orang awam juga kini boleh mendapatkan maklumat kesihatan dan ubat-ubatan melalui media sosial. Sebagai contoh, laman Facebook Duta Kenali Ubat Anda, Instagram dan Tiktok Kenali Ubat Anda serta akaun Youtube rasmi Program Perkhidmatan Farmasi
5) Maklumat ubat-ubatan disampaikan juga melalui slot bual bicara melalui pelbagai saluran radio dan televisyen. Tetamu jemputan yang terdiri daripada ahli profesional kesihatan diundang untuk membincangkan topik-topik kesihatan dan ubat-ubatan yang relevan dengan isu semasa.
*NASIHAT UNTUK ORANG AWAM*
1) Sentiasa menyemak maklumat terlebih dahulu dan mendapatkan penjelasan sebenar daripada pihak yang sepatutnya.
2) Elakkan daripada menyebarkan informasi tersebut kepada orang lain sebelum kesahihan maklumat dapat dipastikan.
3) Orang awam disarankan untuk lebih memanfaatkan portal Sebenarnya.my yang diselia oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membuat pengesahan informasi tidak sahih yang diterima.
4) SKMM juga menggalakkan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat yang meragukan melalui ruangan “Salur Kepada Kami” di portal tersebut. Maklumat-maklumat tidak sahih ini kemudiannya akan dipanjangkan kepada kementerian dan agensi yang berkaitan untuk dibuat pengesahan
5) Orang awam juga boleh mengemukakan aduan kepada pihak SKMM sekiranya mengetahui mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu dalam media sosial. Aduan boleh dikemukakan melalui portal aduan, panggilan telefon, mesej atau e-mel. Maklumat lanjut tentang tatacara membuat aduan boleh dirujuk daripada portal rasmi SKMM.