02/09/2025
Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari Kejadian di Negara Jiran?
Kadang-kadang kita tak perlu tunggu diri sendiri ditimpa musibah. Dengan memerhati apa yang berlaku di sekeliling, kita juga boleh belajar sesuatu yang besar maknanya.
Di Indonesia, semuanya bermula pada September 2024.
Ahli parlimen meluluskan elaun rumah sebanyak Rp 50 juta sebulan (lebih kurang RM14,500). Bayaran ini dijanjikan selama setahun, dengan jumlah keseluruhan sekitar RM174,000. Katanya sebagai ganti rumah rasmi yang tidak lagi disediakan kerajaan.
Beberapa bulan kemudian, ketika rakyat sedang resah dengan harga barang yang makin tinggi, tular p**a video wakil rakyat ketawa dan berjoget dalam dewan ketika isu elaun dibangkitkan.
Bagi rakyat biasa yang tengah perit, adegan itu bagaikan menoreh luka yang sedia ada.
Namun, elaun hanyalah puncak gunung ais. Di bawahnya ada banyak lagi isu yang membara:
โข Inflasi dan kos sara hidup yang makin menghimpit, terutama harga beras dan bahan asas.
โข PHK (pembuangan kerja) besar-besaran dalam sektor industri, menyebabkan ramai hilang pendapatan tetap.
โข Jurang kaya-miskin yang semakin luas, di mana segelintir elit hidup mewah sementara rakyat biasa bergelut.
โข Ketidakpercayaan pada institusi politik, kerana dianggap gagal memahami denyut nadi rakyat.
Menjelang akhir Ogos 2025, ribuan rakyat mula turun ke jalan. Pelajar, peniaga kecil, pekerja semuanya bergabung menyuarakan rasa tidak puas hati. Tetapi keadaan menjadi tragedi apabila seorang penunggang ojek (grab motosikal) bernama Affan Kurniawan maut selepas dirempuh kenderaan polis.
Selepas itu, keadaan semakin tidak terkawal. Bangunan parlimen negeri dibakar, pejabat kerajaan diserang, rumah ahli politik dijarah. Api marak, asap hitam menjulang, diiringi tangisan keluarga yang kehilangan orang tersayang. Tiga orang pegawai awam turut terkorban dalam kebakaran.
Di Bandung, orang ramai memecah masuk ke bangunan parlimen daerah, merosakkan perabot dan dokumen rasmi.
Infrastruktur bandar turut lumpuh hentian bas rosak, laluan MRT terjejas, kedai-kedai kecil musnah. Rumah Menteri Kewangan dan beberapa tokoh politik turut dijarah perusuh.
Di Solo dan Malang, rusuhan menyebabkan balai polis dan pejabat awam musnah. Di Yogyakarta, pejabat lesen memandu dibakar.
Implikasinya, pasaran saham jatuh, nilai Rupiah merosot dan kepercayaan rakyat juga semakin runtuh.
Pada 31 Ogos 2025, Presiden akhirnya akur. Elaun rumah itu dibatalkan, dan lawatan luar negara wakil rakyat dihentikan.
๐ก Apa pengajaran untuk kita di Malaysia, di hari Merdeka ini?
Peristiwa di negara jiran mengingatkan kita bahawa jurang sosial bukan sekadar soal angka dalam buku ekonomi. Tekanan hidup boleh menghakis kesihatan mental rakyat. Bila keresahan tidak didengar, ia boleh meletup menjadi api yang meragut nyawa.
Selamat Hari Merdeka, Malaysia.
Semoga kita belajar dari tangisan jiran, agar tanah air ini kekal aman dan jiwa rakyatnya sentiasa damai.