12/10/2025
FAQ INFLUENZA 2025: Soalan Lazim Masyarakat
1. Apa gejala influenza?
Influenza (flu) biasanya menyebabkan gejala:
• Demam tinggi, menggigil
• Batuk, sakit tekak
• Hidung berair atau tersumbat
• Sakit kepala, sendi dan otot
• Letih dan lemah
• Kadang-kadang muntah atau cirit-birit (lebih kerap pada kanak-kanak)
2. Berapa lama seseorang berjangkit (infectious)?
• 1 hari sebelum gejala muncul hingga 5–7 hari selepas sakit bermula.
3. Perlu ke maklum kepada Pejabat Kesihatan (notifikasi)?
• Tidak perlu bagi kes individu.
• Tapi jika ramai pelajar/staf jatuh sakit serentak di sekolah, taska, asrama atau pejabat pihak institusi perlu maklumkan kepada PKD untuk siasatan dan tindakan kawalan.
4. Perlu ke sekolah atau taska ditutup kalau ada kes influenza?
• Tidak perlu tutup sekolah sepenuhnya.
• Hanya murid atau staf yang bergejala perlu direhatkan di rumah hingga sembuh.
• Sekolah disaran teruskan pemantauan, pembersihan kawasan, dan pengasingan pelajar bergejala.
• Penutupan hanya dipertimbangkan jika kluster besar berlaku dan disahkan oleh PKD.
5. Bagaimana nak tahu seseorang ada influenza? Siapa yang boleh sahkan?
• Doktor boleh menilai berdasarkan gejala klinikal.
• Untuk pengesahan, boleh buat ujian RTK influenza (A/B) atau PCR di klinik atau hospital.
• Ujian biasanya disyorkan untuk:
• Pesakit risiko tinggi atau dimasukkan ke hospital
• Pengesahan kes berkaitan kluster / institusi
6. Adakah ibu bapa layak terima cuti kuarantin jika anak kena influenza?
• Bagi penjawat awam:
Layak memohon Cuti Menjaga Anak yang Dikuarantin / Memerlukan Pengasingan (maksimum 5 hari setiap kes) jika ada surat pengesahan doktor bahawa anak perlu dikuarantin.
• Termasuk penyakit berjangkit seperti influenza jika pegawai perubatan mengesahkan perlunya pengasingan.
• Bagi pekerja swasta:
Tiada peruntukan wajib dalam undang-undang. Namun, boleh guna cuti rehat, cuti sakit, atau cuti kecemasan atas budi bicara majikan.
7. Adakah jangkitan sekarang strain baru?
• Setakat ini, tiada strain influenza baru yang berbahaya dikesan di Malaysia.
• Kes meningkat disebabkan virus influenza bermusim
8. Apakah rawatan untuk influenza?
• Kebanyakan pesakit pulih sendiri dengan rehat dan rawatan simptomatik (ubat demam, batuk, selsema).
• Antiviral (Oseltamivir/Tamiflu) diberikan jika:
• Pesakit risiko tinggi (kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, pesakit kronik), atau
• Pesakit dengan komplikasi / dimasukkan ke hospital.
9. Adakah vaksin influenza penting?
• Sangat digalakkan setiap tahun, terutamanya untuk:
• Warga emas (≥60 tahun)
• Pesakit kronik
• Petugas kesihatan & penjaga warga emas
• Vaksin membantu kurangkan risiko jangkitan teruk dan komplikasi.
10. Apa langkah pencegahan terbaik?
• Tutup mulut & hidung bila batuk/bersin
• Basuh tangan dengan sabun atau sanitizer
• Pakai pelitup muka jika bergejala
• Elak tempat sesak
• Rehat di rumah hingga sembuh
Influenza mungkin nampak seperti selsema biasa, tapi bagi warga emas, kanak-kanak kecil, dan pesakit kronik ia boleh jadi jangkitan yang serius.
Kesihatan bukan sekadar tentang cepat sembuh, tapi tentang tidak menjangkiti orang yang kita sayang.