24/12/2023
𝑱𝑰𝑵 𝑺𝑨𝑲𝑨
saka merujuk kepada sejenis makhluk halus daripada golongan jin atau syaitan yang dipelihara bagi tujuan memelihara diri. Saka ini dikatakan terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa. Saka ini biasanya diwarisi turun-temurun oleh waris walaupun tanpa pengetahuan mereka.
Saka merujuk kepada semua jenis jin seperti bajang, toyol, hantu raya, pelesit dan lain-lain.
Berdasarkan takrifan di atas jelas menunjukkan ia dipelihara untuk menjaga diri dan harta benda daripada musuh. Pada saat yang sama, ia boleh digunakan untuk menganiayai orang lain. Benarlah firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
(Surah al-Jin: 6)
Al-Sobuni berkata adanya makhluk manusia meminta perlindungan dengan lelaki-lelaki jin. Maka bertambahlah kesesatan dengan sebab memohon mereka dan berdosa serta melampau. (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 3/435)
Abu al-Su’ud berkata adalah lelaki apabila bermalam di satu lembah dan dia merasa takut dan bimbang mengancam dirinya maka dia berdoa: “Aku berlindung dengan tuan tempat lembah ini dari orang-orang yang bodoh daripada kaumnya (dikehendaki dengan jin dan pembesarnya).” Apabila mereka mendengar demikian itu maka bertambahlah sombong dan bongkak dan berkatalah: “Kami telah menguasai manusia dan jin.” Justeru bertambahlah takabbur jin dan melampaunya mereka. (Rujuk Tafsir Abi al-Su’ud, 5/200)