22/04/2026
Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) dalam kenyataan media hari ini menyatakan bahawa PKZ Pahang bersama Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memandang serius isu tular berkaitan penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta.
Sehubungan itu, pihak PKZ Pahang ingin menegaskan perkara-perkara berikut:
TIADA SEBARANG KAITAN
PKZ Pahang mengesahkan bahawa pihak yang terlibat dalam isu tersebut tidak mempunyai sebarang hubungan, kerjasama atau pelantikan rasmi dengan PKZ Pahang mahupun MUIP. Mereka juga bukan ejen yang diiktiraf di bawah mana-mana skim kutipan zakat negeri ini.
PENGURUSAN WAKALAH BERINTEGRITI
MUIP sentiasa memastikan setiap pengurusan zakat, termasuk melalui mekanisme wakalah, dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti tinggi. Setiap kelulusan wakalah tertakluk kepada syarat ketat serta pemantauan rapi, termasuk keperluan laporan agihan kepada asnaf yang sah.
AMARAN TERHADAP EJEN TIDAK SAH
Orang ramai, khususnya majikan dan pembayar zakat, diseru agar tidak berurusan dengan mana-mana individu atau organisasi yang tidak dilantik secara rasmi oleh PKZ Pahang / MUIP bagi mengelakkan risiko penipuan dan penyalahgunaan dana.
PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG
Sebarang aktiviti mengutip atau mengurus zakat tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 38 dan Seksyen 39 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013, dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan.
NASIHAT KEPADA MASYARAKAT
Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan spekulasi atau maklumat tidak sahih, serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi PKZ Pahang bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan dipercayai. PKZ Pahang kekal komited memastikan setiap dana zakat diuruskan dengan penuh amanah, telus dan berimpak demi kesejahteraan asnaf dan pembangunan ummah. Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat atas kepercayaan berterusan kepada Pusat Kutipan Zakat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.
Kenyataan oleh:
Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman
Ketua Pegawai Eksekutif
Pusat Kutipan Zakat Pahang
Rabu 22 April 2026/4 Zulkaedah 1447H