09/09/2025
Istilah “urutan saraf” sering digunakan dalam masyarakat kita, namun kebanyakannya salah faham tentang anatomi tubuh. Ada yang percaya saraf boleh tersimpul, lari daripada tempat asal, atau perlu ditekan untuk “masuk balik”. Hakikatnya, saraf tidak boleh tersimpul atau terkeluar kerana ia merupakan jaringan halus yang dilindungi otot, fascia dan tulang.
Secara saintifik, saraf berfungsi menghantar isyarat elektrik antara otak, saraf tunjang dan seluruh badan. Ia mengawal pergerakan, deria rasa, refleks, dan fungsi organ dalaman.
Umumnya, "urutan saraf" adalah sama seperti urutan lain bertujuan memberi rangsangan mekanikal yang memberi kesan fisiologi kepada tubuh, khususnya otot dan tisu. Tekanan dan gerakan urutan membantu melancarkan peredaran darah, mengurangkan ketegangan otot, serta merangsang sistem saraf parasimpatetik yang menenangkan tubuh. Ia juga merangsang pengeluaran hormon endorfin yang memberi rasa lega serta mengurangkan stres.
Kesimpulannya, urutan saraf hanyalah satu mitos kerana saraf tidak boleh diurut secara langsung. Namun, ia berperanan sebagai terapi sokongan dalam pemulihan. Dengan teknik yang betul, urutan membantu mengurangkan kesakitan, melancarkan peredaran darah, dan memberi kesan positif terhadap kesihatan tubuh.