14/04/2026
Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 mewajibkan setiap empunya dan penghuni premis pengilangan makanan hendaklah menyediakan dan mengadakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM). PJKM merupakan satu sistem amalan terancang yang didokumenkan dan memberi jaminan bahawa mana-mana jenis makanan tertentu tidak akan memudaratkan pengguna apabila dimakan. Antara PJKM yang telah diperkenalkan kepada premis yang terlibat dalam pengilangan makanan adalah seperti Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), ISO 22000 dan sebagainya.
Walaubagaimana pun, PJKM sedia ada agak sukar untuk diperolehi oleh premis pengilangan makanan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan suatu skim yang mudah untuk diperolehi dan memenuhi keperluan minima yang diperuntukkan di dalam PPKM 2009 iaitu Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). Melalui pensijilan MeSTI, premis pengilangan makanan akan dibimbing dalam membangun dan melaksanakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) sebelum pengiktirafan diberikan.
TAHNIAH diucapkan kepada Ala Baik Broasted Chicken dia ats kejayaan mendapatkan pensijilan MeSTI. Ucapan TAHNIAH turut dizahirkan kepada rakan kolaborasi dari Pejabat Pertanian Jajahan Pasir Mas.
Majlis penyerahan sijil ini disempurnakan oleh Dr Najihah Mahfuzah binti Zakria,Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Mas bersama En Nazmin Ismail Pegawai Pertanian Daerah, Pejabat Pertanian Jajahan Pasir Mas.