15/06/2022
Peringatan yang baik untuk kita semua oleh Arwah Cikgu Ghani.
JANGANLAH ROSAK BUAH PINGGANG
Setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis, saya wajib hadir di Hospital Pakar Metro, menambat diri selama 4 jam di kerusi dialisis ditemani misi yang mengulang pertanyaan sekali sekala, "Pakcik ok ka?"
Satu pertanyaan rutin untuk kepastian pesakit dailisis seperti saya tiada masalah.
Tusukan dua jarum sebesar dawai pagar yang melekat di lengan menelan semua nikmat hidup, aliran darah serta denyutan pedih sudah menjadi mainan demi kelangsungan hidup.
Tetapi itulah satu-satunya jalan yang ada.
Ketika orang lain berebut meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja, saya dan isteri memandu ke hospital.
Rasa takut sudah lama dihumban jauh demi kelangsungan hidup saya yang ibarat berulang membeli kehidupan sehari dengan nilai tinggi RM200.
Jika tidak dibuat dialisis, insya-Allah dalam seminggu berpindahlah jasad ini ke alam kubur. Itulah rutin hidup saya dan isteri serta anak 3 kali seminggu.
Yang sakit seorang, yang terseret, anak dan isteri kerana menghantar dan menjemput. Seluruh jadual hidup keluarga telah berubah.
Ambillah pengajaran, kawal pengambilan gula untuk mengelak kencing manis yang merosakkan buah pinggang. Kawal tekanan darah yang juga menjadi punca kerosakan buah pinggang.
Ambil insulin jika anda telah terkena diabetis untuk mengelak kerosakan buah pinggang kerana menelan ubat yang lama akan membeban dan merosakkan buah pinggang.
Kos rawatan yang amat tinggi (setahun RM32,000) jika anda tidak dibayai kerajaan, Perkeso atau insuran perubatan.
Pada pembaca saya, ingatlah kami pesakit kerosakan buah pinggang membeli hidup dengan harga yang mahal, sehari RM200 dan ditambat di kerusi selama 4 jam tanpa berubah.
Anda menikmati hidup percuma, tidak berbayar, tidak ditambat di kerusi, bangun pagi, lihat sinar mentari, berfikir untuk makan apa, buat apa yang disuka.
Kami bangun pagi makan kena pilih, banyak yang tidak boleh, air sekadar sebotol mineral kecil untuk sehari, esok ke hospital lagi menadah lengan kepada misi.
Manfaatkanlah waktu sihat dengan ibadat, jangan lupa, suatu hari mungkin anda juga akan mengisi kerusi dialisis ini jika makan ikut menurut hati.
Kepada rakan dialisis, buat apa menyambung hidup jika hanya untuk makan dan rehat sahaja, gunakanlah sehari yang dibeli dengan harga yang mahal itu dengan beribadat untuk kembali kepada Allah.
Maafkan saya, kali ini menulis cerita diri. Bukan minta simpati tetapi saya mengharap bait-bait kata saya ini menjadi satu peringatan kerana firman Allah 'berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang beriman'.
Yang telah ada diabetes, high blood pressure, patuhilah nasihat doktor. Sesungguhnya penyakit ini akan menyusahkan diri dan menyusahkan anak isteri/suami. Menjadi ujian yang berat kepada mereka.
Dan saya melihat banyak anak yang gagal mengharunginya, membiar ayah ibu dihantar oleh pemandu teksi atau grab ke hospital, tidak ditemani semasa dialisis.
ABD GHANI HARON