18/01/2026
Pernah tak berlaku pada anda, mata dah berat dan sedang enak melayan perasaan nak terlelap, tiba-tiba badan anda tersentak kuat seolah-olah anda baru terjatuh dari bangunan tinggi atau tergelincir masuk gaung?
Jantung terus berdegup laju dan mata terus terbuka luas. Hilang terus mengantuk tadi.
Jangan risau, anda tak gila dan anda tak kena kacau hantu. Fenomena anatomi ini dipanggil Sentakan Hipnik atau Hypnic Jerk.
Apa yang berlaku sebenarnya agak lucu jika difikirkan dari sudut sains. Ia adalah satu salah faham antara otak dan otot anda.
Semasa kita mula hendak tidur, otot-otot badan akan mula menjadi rehat dan lumpuh (sleep paralysis) supaya kita tak bergerak masa mimpi nanti. Pada masa yang sama, degupan jantung dan pernafasan akan menjadi perlahan.
Kadang-kadang, jika anda terlalu penat atau stres, proses rehat ini berlaku terlalu pantas. Otak anda yang masih separa sedar menjadi keliru. Ia mengesan otot yang lumpuh dan jantung yang perlahan itu sebagai tanda-tanda kematian atau sedang jatuh dari tempat tinggi.
Secara evolusinya, nenek moyang manusia dahulu tidur di atas pokok untuk elak pemangsa. Jadi, otak kita ada satu sistem keselamatan purba. Bila otak rasa macam kita sedang "jatuh" dari dahan pokok, ia akan hantar satu isyarat elektrik kecemasan ke kaki dan tangan.
Tujuannya supaya kita tersedar dan sempat "paut" semula pada dahan pokok tadi sebelum jatuh ke tanah.
Jadi, sentakan yang anda rasa malam tadi tu sebenarnya adalah usaha otak anda nak selamatkan nyawa anda, walaupun hakikatnya anda cuma baring selamat di atas tilam empuk. Otak anda cuma terlalu prihatin (overprotective).
Biasanya benda ni jadi kalau kita terlampau penat, stres, atau minum kopi dekat waktu tidur.
Credit: Public Health Malaysia