
11/06/2023
Kami dengan sukacitanya ingin berkongsi berita yang menggembirakan!
Pada 9 Jun 2023, Hospital Pulau Pinang telah menyaksikan satu pembedahan bersejarah di Cath Lab. Dua kes yang kompleks telah dilakukan dengan jayanya, memberikan harapan baru kepada pesakit-pesakit kami.
Pembedahan ini adalah pertama kali di Hospital Pulau Pinang dan telah dijalankan dengan kerjasama padu daripada pelbagai pihak yang turut terlibat. Antaranya ialah Jabatan Pembedahan Kardiotorasik, Jabatan Kardiologi, Unit Kardiotorasik Anestisiologi dan Perfusi, Institut Jantung Negara(IJN), rakan industri, Unit Radiologi Cardio, serta banyak lagi. Mereka bersama-sama membentuk satu Cardiac Team yang kompeten, komprehesif dan profesional.
Secara ringkasnya, terdapat dua kes yang kompleks dalam pembedahan ini. Kedua-dua pesakit sebelum ini telah pun menjalani pembedahan jantung sebelumnya. Namun, nasib mereka kurang baik apabila salah satu injap jantung mereka, iaitu Aortic Valve, mengalami kerosakan beberapa tahun kemudian. Untuk melakukan pembedahan secara 'open heart surgery' sekali lagi agak berisiko tinggi. Oleh itu, TAVI atau Transcatheter Aortic Valve Implantation dianggap sebagai alternatif terbaik.
Syukur Alhamdulillah, pembedahan/prosedur yang mencabar ini telah dilaksanakan dengan cemerlang tanpa sebarang komplikasi yang tidak diingini.
Kami ingin mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada individu-individu utama yang telah berjaya menjayakan projek ini. Datuk Dr Shaiful dari IJN, Dato' Dr Basheer, Dr(Mr) Abu Yamin, Dato' Dr Jahanger, Dr Maseeda, Dr Tamim, pakar-pakar dari pelbagai jabatan, para doktor pakar pelatih, serta pasukan sokongan yang terdiri daripada jururawat dan penolong pegawai perubatan di Cath Lab, cardiac OT, CTC, perfusionist, CICU, serta radiographer cardio dan lain-lain, semuanya turut serta memberikan sumbangan cemerlang untuk memastikan rawatan yang terbaik kepada pesakit-pesakit kami.
Kejayaan pembedahan ini merupakan satu pencapaian yang amat berharga dan membanggakan terutamanya bagi Jabatan Pembedahan Kardiotorasik dan Jabatan Kardiologi. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kepentingan yang besar terhadap kerjasama yang padu di antara semua pihak yang terlibat, malah melambangkan kecemerlangan dan keunggulan dalam penjagaan serta perawatan pesakit yang menghidap penyakit jantung. Pada hakikatnya, ini menggambarkan semangat serta dedikasi tinggi yang diusung oleh pasukan yang berintegriti dan berazam kuat untuk memberikan rawatan terbaik serta meningkatkan kualiti hidup pesakit-pesakit kami.
Sekali lagi kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan. Semoga segala usaha yang telah dilakukan mendapat ganjaran yang baik dari Allah SWT.
Justeru, teruskan berdoa dan berikan sokongan kepada kami dalam usaha kami memberikan rawatan terbaik kepada pesakit-pesakit ini. Kami berharap agar pembedahan ini memberi manfaat yang besar serta membawa sinar harapan kepada mereka yang memerlukan.
Terima kasih di atas sokongan yang diberikan.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang
Dr Zaliha Mustafa