06/07/2022
Setiap kali dengar kisah korban Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, saya teringat ujian Allah ambil 2 orang anak saya ketika mereka masih kecil.
Seorang meninggal di usia 1 tahun 4 bulan, dan seorang lagi meninggal di usia 7 tahun.
Selalu saya kata pada diri sendiri dan isteri,
“Mungkin saya tak pandai jaga anak ini. Jadi Allah ambil. Allah adalah sebaik-baik Pemelihara.”
“Anak kita anak syurga. Bila anak masuk universiti, kita gembira. Tapi bila anak masuk syurga, takkan nak sedih lama-lama.”
Orang datang ucap takziah. Saya kata kena ucap tahniah. Tahniah sebab Allah pilih anak saya masuk syurga dalam keadaan yang sangat mulia. Bersih dari dosa dan noda dunia.
Urusan hidup anak saya di alam seterusnya dah selamat dan terjamin syurga. Namun urusan hidup saya yang belum tentu ke mana. Moga Allah himpunkan kami sekeluarga di syurgaNya.
Sama macam orang lain. Saya juga rasa sedih dan sangat kehilangan. Walaupun masih di usia kecil, tapi pemergiannya memberi kesan besar kepada kami sekeluarga.
Tuan puan yang saya hormati, Allah uji kita dengan sesuatu yang kita sayang.
Kita ada anak dan isteri, Allah uji kita dengan anak dan isteri.
Kita ada mak dan ayah, Allah uji kita dengan mak ayah.
Kita ada harta, Allah uji kita dengan harta.
Kita ada kuasa, Allah uji kita dengan kuasa.
Kita ada ilmu, Allah uji kita dengan ilmu.
Kisah viral yang semua orang Islam tahu, kisah Nabi Ibrahim a.s. diperintah Allah untuk sembelih anak lelakinya, Nabi Ismail a.s.
Nabi Ibrahim sangat sayangkan Nabi Ismail a.s. Mana tak sayang, anak lelaki yang dah lama dia tak jumpa. Dah lama terpisah. Semasa Ismail masih bayi, Allah pernah perintahkan Nabi Ibrahim tinggalkan anaknya Ismail dan Siti Hajar di padang pasir kering kontang.
Bayangkan tuan puan, anak yang kita saya dan lama tak jumpa. Mesti kita nak sentiasa dekat dengan dia kan? Mesti kita tak sanggup berpisah lagi kan?
“Kenapa Kau uji aku lagi?
Mungkin ini yang kita akan ucap bila dapat ujian berkali-kali.
“Belum cukup ke ujian sebelum ini?”
Ini kata kita. Bukan nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim sanggup korbankan apa saja demi cintaNya kepada Allah SWT.
Allahuakbar!
Sebak rasa bila fikirkan betulkan cinta Nabi Ibrahim kepada Allah SWT. Jadi tidak pelik kenapa Baginda mendapat gelaran “khalilullah” sama seperti Nabi Muhammad saw. Tidak pelik kenapa kita perlu membaca selawat terhadap Nabi Ibrahim a.s dalam tahiyat akhir selepas berselawat kepada Nabi Muhammad saw.
SEMBELIH CINTA DUNIA, DEMI CINTA ALLAH SWT.
“Sembelih cinta dunia”. Satu kata yang senang diucap secara lisan. Tapi tak mudah diaplikasi dalam kehidupan.
Sepanjang perjalanan dakwah, ramai orang macam ni yang saya pernah jumpa. Sudah tentulah jauh beza dengan cinta kita umat akhir zaman dengan cinta para Nabi terhadap Allah swt. Tapi, ada hikmah yang boleh kita pelajari.
Ada kisah jutawan kaya raya yang infaqkan harta berpuluh ribu ringgit di jalan dakwah,
Ada hartawan yang wakaf tanah berekar-ekar untuk bina sekolah tahfiz,
Ada mak ayah anak ramai yang sanggup susah payah didik anak supaya jadi penghafal Al-Quran,
Ada orang berilmu yang sanggup mengajar agama tanpa terima sesen pun wang upah,
Ada orang susah, tak banyak harta, kerja sungguh-sungguh sebab nak sama-sama bantu agama,
Macam-macam tuan puan.
Masing-masing ada jalan tersendiri.
Allah kurniakan kita nikmat dan kelebihan,
Maka pandai-pandailah kita kenali nikmat itu dan gunakan sebagai jihad di jalan yang di cintai Tuhan.
Saya ada seorang kawan. Bukan orang besar. Bukan orang kaya. Kerja sebagai tukang sapu sampah DBKL. Hidupnya sangat sederhana. Ada sebuah rumah kos rendah di Sentul.
Anak-anak dah besar. Berjawatan tinggi. Setiap bulan anak-anak akan bagi duit padanya. Bila dikira semuanya, sekitar RM 6,000 sebulan. Banyak tu.
Apa yang menarik, kawan saya ni hanya mengayuh basikal ke hulu ke hilir. Sama seperti sejak zaman muda. Bila saya tanya,
“Buat apa dengan duit yang anak bagi tiap-tiap bulan tu?”
Jawapan dia, guna untuk bantu kawan-kawan yang hidup susah. Bantu bayar sewa tertunggak, beli keperluan harian, deposit rumah dan sebagainya. Dia bantu hanya dengan satu syarat,
“JANGAN TINGGAL SOLAT. Jangan tipu claim overtime lebih, jangan ambik komisyen atau rasuah.”
Masha Allah.
Nikmat yang Allah bagi, Dia gunakan duit itu untuk jalan dakwah. Jalan mengajak orang lain menjadi manusia yang baik dan disayangi Allah.
Sembelih cinta dunia, bukan bermakna kita terus tolak nikmat yang Allah bagi,
Tapi nikmat itu tak masuk dalam hati. Kemudian kita urus di jalan yang Allah cintai.
Begitulah,
Dunia hanya di tapak tangan,
Akhirat yang jadi tujuan.