29/01/2026
https://www.facebook.com/share/p/1cCrLCo3XM/
Serba tak kena. Duduk gatal, berdiri gatal. Nak garu, tempat awam p**a.
Masalah gatal pada bahagian dubur atau istilah perubatannya Pruritus Ani adalah kondisi yang sangat lazim, tetapi jarang dibincangkan kerana malu.
Ramai beranggapan gatal dubur bermaksud ada cacing kerawit. Ya, itu salah satu punca, terutamanya jika gatal berlaku pada waktu malam. Tetapi bagi orang dewasa, puncanya selalunya berbeza.
Berikut adalah punca utama kenapa dubur anda gatal:
1. Terlalu Bersih (Over-cleaning)
Ini punca paling utama. Anda mungkin menyental kawasan tersebut dengan sabun kasar atau mengelap terlalu kuat menggunakan tisu. Ini membuang lapisan minyak semulajadi yang melindungi kulit, menyebabkan kulit menjadi kering, pedih, dan gatal.
2. Lembap & Berpeluh
Pemakaian seluar dalam yang ketat atau jenis sintetik memerangkap peluh. Kawasan yang lembap adalah syurga bagi kulat (fungal infection) untuk membiak.
3. Makanan Pedas & Kafein
Peminat sambal belacan dan kopi perlu ambil perhatian. Makanan pedas dan kafein boleh melemahkan otot dubur dan menyebabkan sedikit najis terkeluar (leaking) atau merengsakan kulit semasa membuang air besar.
4. Buasir (Hemorrhoids)
Bengkak pada salur darah di dubur boleh menyebabkan kesukaran untuk membersihkan kawasan tersebut dengan sempurna, meninggalkan sisa yang menyebabkan gatal.
Apa perlu buat?
Hentikan penggunaan sabun wangi atau skrub di kawasan tersebut. Basuh dengan air sahaja dan keringkan dengan 'dap' tuala lembut (jangan gosok).
Pakai seluar dalam kapas (cotton) yang longgar.
Jumpa doktor jika gatal berlarutan untuk ubat sapu yang sesuai. Jangan beli ubat sebarangan di kedai.
Ingat, makin anda garu, makin rosak kulit, makin teruk gatalnya. Kitaran ini mesti dihentikan.