29/01/2026
“Doktor! Budak ni, baru masuk sekolah 2-3 hari, dah naik demam” kata wanita tu sambil gosok kepala anaknya.
“Seronok sangat main kat sekolah, kot?” gurau saya sambil membidik thermometer ke telinga kanak-kanak itu.
Teet! Thermometer paparkan bacaan. 37.8°C. Demam, tapi tak tinggi.
“Yang seronok sangat tu bapak dia, dia ni penakut sikit.” balas wanita itu.
Tersengih si bapak yang dari tadi hanya duduk diam memerhati saya periksa anaknya.
“Aik? Bapak dia yang seronok? Seronok tengok anak ke tengok cik-gu?” seloroh saya sambil curi pandangan pada si bapa sambil tersenyum.
“Saya tak pernah sekolah, doktor. Itulah kali pertama saya lihat macam mana murid belajar di sekolah. Itu yang saya seronok. Bukan sebab tengok cikgu.” balas si bapa dengan nada polos.
Namun, senyuman saya langsung jadi kelat. Jadi pahit. Kepolosan nada dia tu buat saya rasa bersalah. Saya dapat rasakan nadanya polos kerana dia cuba selindung perasaan dia yang sebenar.
“Arwah Abah saya kerja hantar surat khabar dan beli surat khabar lama. Setiap hari dia simpan sedikit surat khabar yang dia kumpul. Tak jual semua. Saya dulu belajar membaca dari keratan surat khabar lama tu. Abah sendiri ajar.” sambung lelaki itu.
Dia juga cerita, setiap pagi sedang ayah orang lain keluar menghantar anak-anak mereka ke sekolah, ayahnya p**a keluar hantar surat khabar dari rumah ke rumah.
Dia tak dihantar ke sekolah sebab dia lembam(OKU pembelajaran) dan pada zaman tu budak lembam dianggap tak payah pergi sekolah.
Apapun, walaupun dia tak pernah terima pendidikan formal, ayahnya pastikan dia boleh mandiri. Lepas hantar surat khabar, ayahnya balik ke rumah, ajar dia membaca, menulis dan mengira. Petang, dia ikut ayahnya pergi dari rumah ke rumah, beli surat khabar lama.
Sedih p**a dengar cerita dia.
Tak hairanlah bila lelaki ini hantar anak tunggalnya ke sekolah buat kali pertama, dia sangat teruja dan seronok. Silaplah saya pergi persenda keterujaan dia itu.
Inilah sebabnya kalau cakap siang kena pandang-pandang, cakap malam kena dengar-dengar.
Apabila kita bercakap dengan orang yang kita tak benar-benar kenal, kena berhati-hati dengan apa yang kita tuturkan. Terutamanya jika melawak. Silap hari boleh buat bergaduh.
Sesudah saya periksa si anak, saya tulis ubat laju-laju dan minta mereka ambil ubat di kaunter. Sudah panjang sangat berborak. Pesakit lain dah tunggu.
“Saya tak risau kalau suami saya ni tengok-tengok cikgu cantik-cantik dekat sekolah tu. Bukan ada yang akan sangkut dekat dia pun!” ujar si isteri sinis sebelum keluar bilik konsultasi.
“Eh! Awak ingat kita tak sekolah, kita tak laku ke?” balas si suami yang sudah di luar bilik konsultasi.
Macam-macam ragam. Saya doakan keluarga ini bahagia dan si anak jadi insan yang cemerlang bila dewasa kelak.
Kamarul Ariffin Nor Sadan