06/09/2025
Pada 30 Ogos 2025 yang lalu, satu lagi perjumpaan bulanan KSSI PRO telah berlangsung. Bertempat di PRAWIS Rawang, pertemuan ini menghimpunkan seramai 18 orang yang istiqamah hadir, tanpa kelihatan wajah baharu kali ini. Walaupun sederhana dari segi bilangan, suasananya tetap hidup, mesra dan erat seperti sebuah keluarga yang berkumpul.
Seperti biasa, acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Ahmad Sharizal (TAS). Tidak lama selepas itu, TAS membuka ruang dengan sesi soal jawab, memberi peluang kepada para alumni melontarkan persoalan mereka. Menariknya, soalan-soalan yang diajukan bukanlah soalan biasa, tetapi menyentuh sisi yang jarang dibincangkan secara terbuka.
Antaranya, tentang bahagian tubuh yang sesuai untuk mengeluarkan jin. TAS menjawab persoalan itu, kemudian mengembangkannya kepada bagaimana jin boleh masuk dan melalui jalan mana ia masuk. Ada juga yang bertanya tentang tahap kesedaran pesakit, sehinggalah kepada isu-isu mencabar seperti rumah bukan Islam yang ingin “dibersihkan”, di mana terdapat tokong kecil di dalamnya.
Aliran soalan itu menjadikan suasana semakin rancak. Ada yang ingin tahu tentang beza antara ibu gayung dan ibu gerak, ada p**a yang bertanya mengapa walaupun sudah mendinding tetap ada “kebocoran”. Tidak kurang juga yang mengajukan persoalan pelik tetapi mendalam: kalau jin sudah masuk ke badan seseorang, kemudian orang itu p**a masuk ke kawasan yang telah dipagar, adakah jin itu boleh “menumpang masuk” sekali?
Namun, bukan soalan itu yang menjadikan perjumpaan seperti ini istimewa. Apa yang menarik ialah cara TAS menjawabnya. Beliau tidak sekadar memberi jawapan, tetapi membawa hadirin menyelami kaitan antara ilmu, amalan dan niat. Sekilas lalu, kedengaran seolah-olah rahsia besar sedang dibuka, tetapi hakikatnya setiap patah kata TAS mengundang tanda tanya yang lebih mendalam.
Apa yang boleh dikongsikan di artikel ini hanyalah “permukaan”. Lebih daripada itu, hanya mereka yang hadir sahaja yang benar-benar dapat merasainya. Ada kisah tentang pengalaman lama, tentang istilah-istilah yang mungkin asing pada telinga orang luar, dan ada juga cerita tentang “permainan di gelanggang” yang hanya pengamal bertahap pewaris dan ke atas sahaja mampu memahami maksudnya.
TAS turut menekankan bahawa Ilmu Gerak (IG) tidak boleh berdiri sendiri. Ia perlu dipasangkan dengan ilmu Tauhid, Tasawuf, dan Fiqh. Tiga perkara ini saling melengkapi, Tauhid menjadi asas pegangan, Tasawuf membentuk kesedaran hati, manakala Fiqh menjaga aturan syariat. Tanpa ketiga-tiganya, pengamalan IG akan pincang. Justeru, pengamal IG diseru supaya membetulkan niat, mendalami asas-asas ini bukan semata-mata untuk menguatkan IG, tetapi demi mencontohi Rasulullah SAW.
Sebelum menutup tirai majlis, TAS masih sempat “menawarkan” ruang untuk soalan tambahan. Namun dengan senyum dan seloroh, para alumni hanya ketawa kecil, ada yang bersuara, “takut tak cukup masa...” Sejak awal lagi mereka telah diingatkan oleh pihak admin supaya menepati waktu, maka semua pun berjaga-jaga agar majlis berakhir dengan tertib.
Begitulah perjumpaan bulanan KSSI PRO kali ini. Singkat tetapi padat, tertutup namun penuh makna. Yang hadir p**ang dengan sesuatu yang s**ar dikongsi, manakala yang tidak sempat hadir diharap tidak melepaskan peluang pada pertemuan yang akan datang.