02/12/2023
πππππππ ππππ πππ ππππππ ππππ
Selama, 2 Disember 2023 - "Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang." Berkat usaha dan kesepakatan, hari ini berlangsung pertemuan ratusan bekas polis dan pegawai awam yang pernah berkhidmat di IPD Selama suatu ketika dahulu.
Bertempat di Dewan Besar IPD Selama, lebih 500 tetamu hadir dalam majlis dinamakan 'Reunion Otai IPD Selama 2023'. Mereka dipertemukan dalam majlis yang dirancang sejak dua bulan lalu. Hari ini mereka bersua muka setelah puluhan tahun terpisah lantaran tuntutan tugas dan juga urusan masing-masing.
IPD Selama ternyata telah memahat kenangan dan pengalaman indah buat mereka. Ada yang berkhidmat dalam PDRM, ada juga yang telah bersara dari perkhidmatan malah ada yang hadir mewakili ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Mereka hadir di atas semangat setiakawan, kekeluargaan dan silaturahim yang erat yang telah terpatri di hati nurani masing-masing.
Majlis ini menyajikan momen gembira, keterujaan malah terdapat juga sisi perih deraian air mata rentetan imbauan kenangan yang tidak mungkin dapat diputar kembali. Suasana menjadi lebih menarik apabila hadirin bersama menyanyikan lagu "Sedia Berkhidmat" dengan penuh bersemangat.
Hadir dalam majlis iaitu YDH Toh Jana Pahlawan SAC (B) Dato' Abu Bakar bin Romlee (Orang Besar 32 Negeri Perak/ Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Reunion Otai IPD Selama), YDH SAC (B) Dato' Zull Aznam bin Haron (Bekas Ketua Polis Perlis/ Bekas KPD Selama), Supt (B) Wan Jamil bin Wan Chik (Bekas KJSPT Perak/ Bekas KPD Selama), Supt Mohd Sabri bin Saad (JPJKK Perak/ Bekas KPD Selama), DSP (B) Zainuddin bin Abd Aziz (Bekas KPD Selama) dan DSP Tan Bak Hua (Timbalan KPD Selama). Majlis berlangsung dengan lancar dan selesai secara berperingkat petang tadi.
Semoga majlis sebegini dapat dianjurkan lagi demi kelangsungan silaturahim "Otai IPD Selama". Tahniah buat jawatankuasa yang menggalas tanggungjawab penganjuran juga para hadirin yang turut sama menyumbang tenaga, buah fikiran malah wang ringgit demi kenangan indah hari ini.