28/03/2021
Malam Nisfu Syaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.
Malam Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Banyak kelebihan malam nisfu syaban, antaranya malam ini adalah terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.
Disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi dalam kitabnya
Fadha’il al-Ayyam wa asy-Syuhur, ms. 38, antara amalan para solehin pada malam ini,
selepas solat fardhu Maghrib dan Sunat Ba’diahnya, dibaca Surah Yaasin 3 kali.
Sekiranya tidak sempat melakukannya selepas solat Maghrib, lakukannya selepas Solat Isyak.
Bacalah Yasin dengan niat supaya:
1. Allah memanjangkan umur serta dapat beribadat
2. Menambah rezeki
3. Ditetapkan dan meningkatkan iman dan mati dalam husnul khatimah
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam Nisfu Sya’ban:
1.
Telah berkata Imam al-Syafie RA:
Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”.
— Lihat: al-Um, 1:264
2.
Ibnu Rajab RA mengatakan:
Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. Lathaif al-Ma’arif, 247
Oleh itu, hidupkan malam Nisfu sya’ban dengan beribadah seperti solat sunat tasbih, baca al-Quran, berzikir, selawat, dan berdoa dengan niat.