04/03/2025
Sifat Baginda (s.a.w.) Yang Pertama: Sifat Mengutamakan Orang Lain Daripada Diri Sendiri
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah swt...
Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.
Saudara dan saudari,
Bersempena bulan Ramadhan al mubarak ini, admin berusaha untuk mengedepankan beberapa sifat terpuji Nabi (s.a.w.) yang patut kita contohi. Salah satu sifat yang ingin saya kongsikan pada kesempatan ini, adalah sifat Nabi (s.a.w.) yang s**a mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri.
Saudaraku,
Keindahan akhlak Nabi (s.a.w.) jika dicontohi mampu membentuk keperibadian kita untuk menjadi seorang muslim yang sejati. Iaitu dengan mencintai insan lain, sepertimana ia mencintai dirinya sendiri. Nabi (s.a.w.) apabila melihat kesempatan untuk mendahulukan insan lain, Baginda pasti akan melaksanakannya. Baginda berkongsi makanan, agar insan lain boleh merasa kenyang bersama.
Sebagai contoh, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, bahawa Anas bin Malik (r.a) pernah diminta untuk membahagikan kurma yang Baginda baru sahaja terima. Anas berkata: Nabi (s.a.w.) lalu duduk seketika dan makan dengan segera (lalu kembali menyelesaikan tugasnya yang lain) dan aku tahu (melalui cara makannya itu) bahawa Baginda sedang sangat lapar.”
Daripada hadis ini, kita dapat melihat sifat Nabi (s.a.w.) yang mengutamakan orang lain. Walaupun Baginda diberikan makanan khas buat dirinya, namun Baginda tidak lupa untuk memberikannya juga kepada orang lain, sehinggakan Baginda hanya makan sedikit daripada pemberian tersebut, meskipun dirinya berada dalam keadaan yang sangat lapar.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,
Sifat s**a mengutamakan orang lain lahir daripada hati yang suci. Allah (s.w.t.) berfirman, mengkhabarkan tentang doa Nabi Ibrahim (a.s.) yang memohon kebaikan dan keselamatan kepada Allah di hari kebangkitan:
Yang bermaksud: “Hari ketika tiada lagi berguna harta dan anak-anak kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah membawa hati yang selamat.” (Surah Ash-Shu’ara ayat 88-89)
Hati yang selamat atau suci tidak hanya bermaksud jiwa yang bebas daripada sebarang dosa, tetapi ia juga membawa erti hati yang bebas dari segala sifat yang tercela. Di antara sifat yang tercela adalah sifat mementingkan diri sendiri. Imam Al-Izz ibn Abdussalam berkata, yang dimaksudkan ayat tadi dengan “selamat” adalah mereka yang mencintai bagi insan lain, apa yang beliau cintakan untuk diri sendiri.
Bahkan seseorang masih lagi belum dikira sempurna imannya selagi mana dia masih lagi mementingkan dirinya sendiri. Nabi (s.a.w.) bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Belum sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintai saudaranya, apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Muslimin dan muslimat,
Di saat kita sedang berhadapan dengan peningkatan inflasi dan ekonomi global yang mencabar, pastinya ada sebahagian individu serta keluarga yang terjejas dengan keadaan ini. Mungkin ada ahli keluarga kita, kenalan rapat kita yang berhadapan dengan kes**aran untuk memenuhi keperluan seharian.
Justeru, setiap individu mukmin perlu berusaha untuk memupuk semangat membantu orang lain. Bantuan yang kita hulurkan tidak semestinya perlu dalam jumlah yang besar, ataupun terbatas kepada bantuan kewangan sahaja. Akan tetapi, gunakanlah kesenangan dan kelebihan yang Allah kurniakan untuk berinfak dan membantu, pada mana-mana ruang serta kesempatan. Nescaya Allah akan tambahkan lagi rezeki buat kita.
Semoga Allah (s.w.t.) terus memberi kita peluang untuk melakukan kebaikan, diberikan kemudahan dan kecintaan untuk membantu orang lain. Amin Ya Rabbal Alamin.
Rawatan Islam Al Abqory (PRIQ)
Sheikh Haji Ahmad, Sendayan
yang tak didendang
- Tawakal
Jika Manfaat