08/11/2024
☢️ 🩻 Lebih Daripada Seorang "Penekan Butang"
8 Nov 2024 - Salah tanggap umum bahawa ahli teknologi radiologi atau juru x-ray adalah hanya sekadar seorang “penekan butang” (button-pusher).
Ya, memang benar bahawa seorang juru x-ray menekan butang-butang pada mesin, namun menekan butang-butang ini memerlukan pengetahuan, kemahiran, dan pemikiran kritis serta penyelesaian masalah. Tambahan lagi, kemahiran ini tidak mampu dilakukan oleh sembarangan individu. Mengetahui parameter mesin dan membuat keputusan untuk menekan butang yang perlu ditekan serta tetapan yang perlu digunakan untuk pesakit-pesakit tertentu dalam apa jua situasi tertentu bergantung kepada pelbagai faktor.
Satu peraturan yang memandu kerja juru x-ray dalam "menekan butang" adalah untuk mematuhi satu prinsip keselamatan sinaran yang dikenali sebagai ALARA (as low as reasonably achievable) yang bermaksud "serendah yang boleh dicapai secara munasabah." Pada asasnya, juru x-ray perlu mendedahkan pesakit kepada dos sinaran serendah yang mungkin untuk menghasilkan imej berkualiti tinggi yang boleh digunakan untuk membuat keputusan diagnosis dan rawatan. Prosedur yang memerlukan pengulangan akan mendedahkan pesakit kepada risiko sinaran yang tidak perlu, dan oleh itu, dalam kebiasaan situasi juru x-ray perlu melakukan hanya sekali dedahan sekerap yang mungkin. Ini memerlukan pengetahuan mengenai jumlah masa pesakit terdedah kepada sumber radiasi, jarak dari sumber tersebut dan jenis perlindungan yang akan digunakan dalam prosedur tertentu. Ini mungkin kelihatan mudah di mata umum namun proses ini melibatkan pertimbangan semua faktor lain yang terlibat dengan sesuatu prosedur pengimejan perubatan.
Sambil memastikan dos pesakit yang paling rendah dalam menghasilkan imej perubatan, juru x-ray juga harus melaraskan parameter mesin dengan mengambil kira kebesaran badan dan umur pesakit (pesakit kanak-kanak memerlukan pertimbangan yang sama sekali berbeza daripada orang dewasa apabila melibatkan dos sinaran yang boleh diterima), bahagian atau organ yang perlu diteliti oleh doktor pakar, jenis tisu badan, patologi atau penyakit yang disyaki, anatomi radiologi, fisiologi, dan kedudukan pesakit.
Justeru itu, radiografi dan radiologi selayaknya digelar sebagai “mata perubatan”, dan tanpanya dunia perubatan akan menjadi buta.
Jabatan Radiologi HSAAS UPM berbesar hati mengucapkan Selamat Hari Radiografi Sedunia dan Hari Radiologi Antarabangsa 2024 kepada semua disiplin perubatan yang terlibat ☢️