10/12/2025
HOSPITAL SERIAN TERIMA MESIN OAE PERKASAKAN SARINGAN PENDENGARAN BAYI
SERIAN, 10 Disember โ Hospital Serian kini mampu melaksanakan saringan awal pendengaran bayi baru lahir dengan lebih cepat dan efisien selepas menerima sebuah Mesin Otoacoustic Emission (OAE).
Pengarah Hospital Serian, Dr Maria Mesran berkata mesin itu dapat meningkatkan kadar pengesanan awal masalah pendengaran bayi selain mengurangkan kebergantungan kepada Hospital Umum Sarawak (HUS).
โMesin OAE akan membantu mengenal pasti masalah pendengaran bayi yang baru lahir.Sebab kadar kelahiran kita agak tinggi, tahun lepas saja 2,014 kelahiran. Sebelum ini, semua kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk saringan. Dengan mesin ini, saringan dapat dilakukan lebih awal.Hanya bayi yang gagal ujian awal akan dirujuk ke HUS untuk ujian pengesahan.โ katanya.
Jelasnya, sebelum ini keluarga bayi perlu hadir semula untuk temu janji susulan, namun ada yang tidak dapat datang dan menyebabkan kelewatan pengesanan awal. Dengan adanya mesin OAE di Serian, saringan kini boleh dilakukan sebelum bayi pulang ke rumah.
Mesin tersebut disumbangkan oleh Yayasan Community Care Enrichment Programme (CCEP) bagi menyokong pelaksanaan Program Saringan Pendengaran Bayi Baru Lahir atau Universal Newborn Hearing Screening (UNHS).
Setakat ini, daripada 23 hospital di Sarawak, hanya empat hospital melaksanakan saringan berkenaan iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Miri dan Hospital Sri Aman.
Mesin bernilai RM30,000 itu diserahkan kepada Dr Maria oleh Presiden CCEP, Yee Poo Yoon.
DEBBIE AMANDA